Skip to main content

Dunia

Kebocoran air rosakkan lukisan abad ke-19, tamparan terbaharu kepada Muzium Louvre

UNSPLASH
Kebocoran itu menambah satu lagi insiden dalam siri masalah yang terus menjejaskan muzium paling dikunjungi di dunia itu. - Gambar hiasan

PARIS: Sebuah lukisan siling abad ke-19 hasil karya Charles Meynier mengalami kerosakan selepas kebocoran paip pemanas berlaku di bilik 707, atau dikenali sebagai bilik “Duchatel”, lewat malam Khamis, menurut kenyataan pihak Muzium Louvre.

Kebocoran itu menambah satu lagi insiden dalam siri masalah yang terus menjejaskan muzium paling dikunjungi di dunia itu.

Advertisement

Bilik berkenaan yang menempatkan karya seni abad ke-15 dan ke-16 itu terjejas apabila air daripada paip pemanas di bahagian teknikal meresap ke siling dan merosakkan lukisan 'The Apotheosis of Poussin, Le Sueur and Le Brun'.

Pasukan bomba tiba serta-merta dan kebocoran berjaya dihentikan kira-kira 40 minit selepas ia bermula.

Pakar restorasi seni yang memeriksa lukisan berkenaan pada pagi Jumaat menemukan dua koyakan pada kawasan yang sama, selain lapisan cat yang terangkat pada lengkungan siling.

Walaupun begitu, arkitek utama monumen bersejarah Perancis mengesahkan tiada kerosakan struktur pada bangunan tersebut.

Bilik 706, 707 dan 708 ditutup buat sementara waktu untuk pemeriksaan lanjut.

Perancah turut didirikan di kawasan terjejas sebagai langkah keselamatan.

Insiden kebocoran ini berlaku hanya sehari selepas polis Perancis menahan sembilan individu, termasuk dua kakitangan muzium, berhubung siasatan penipuan tiket yang didakwa berlangsung sejak bertahun-tahun dan menyebabkan kerugian jutaan euro kepada muzium.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Louvre dilanda pelbagai isu, termasuk:

  • Kecurian permata mahkota Perancis dalam rompakan berprofil tinggi pada 19 Oktober lalu, yang mendedahkan kelemahan serius dalam keselamatan muzium.
  • 300–400 buah buku rosak akibat kebocoran di bahagian koleksi Mesir pada Disember lalu. Pihak muzium mengakui masalah teknikal yang menyebabkan kebocoran itu telah diketahui selama bertahun-tahun.
  • Penutupan sebahagian galeri pasu Yunani pada November disebabkan masalah struktur.

Kesemua ini telah meningkatkan tekanan terhadap pengurusan muzium, yang kini berdepan kritikan terhadap kegagalan penyelenggaraan bangunan bersejarah tersebut.

Kos pembaikan lukisan Meynier dan kerosakan pada bangunan masih belum dapat dipastikan, sementara siasatan terperinci sedang berlangsung.

 

Must Watch Video