Skip to main content

Dunia

AS kecam Rusia, gesa hentikan ancaman serangan sistematik ke Kiev

Russian ambassador to the United Nations Vassily Nebenzia attends a Security Council meeting at the United Nations headquarters in New York City, U.S., May 26, 2026. REUTERS/Shannon Stapleton
Vassily Nebenzia, menegaskan semula bahawa serangan pada Ahad menyasarkan kemudahan utama ketenteraan dan perisikan Ukraine. - Gambar/ Reuters

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) pada Khamis mengecam keras Rusia serta menggesa negara itu supaya tidak meneruskan ancaman melancarkan “serangan sistematik” ke atas Kiev, ketika Moscow menolak gesaan tersebut dan mengulangi amaran kepada diplomat asing agar segera meninggalkan ibu negara Ukraine itu.

Kenyataan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diminta oleh Ukraine, susulan serangan besar-besaran Rusia menggunakan ratusan dron dan peluru berpandu pada Ahad lalu yang menyasarkan Kyiv serta kawasan sekitarnya.

Serangan itu termasuk pelancaran peluru berpandu balistik jarak sederhana Oreshnik yang berkeupayaan nuklear, sekurang-kurangnya kali ketiga Moscow menggunakan senjata tersebut terhadap Ukraine sejak November 2024.

Timbalan Duta AS ke PBB, Tammy Bruce, yang mengutuk serangan pada 24 Mei itu, menyifatkan penggunaan Oreshnik sebagai “peningkatan yang tidak dapat dijelaskan, berbahaya dan bersifat kejam” dalam konflik yang tercetus sejak Februari 2022.

“Kami mengingatkan Rusia agar tidak melaksanakan apa yang disebut sebagai serangan sistematik terhadap Kiev, yang berisiko meningkatkan korban awam serta menjejaskan prospek keamanan,” katanya.

Sekurang-kurangnya dua orang awam dilaporkan terbunuh dan kira-kira 100 lagi cedera dalam serangan tersebut. Moscow menyatakan tindakan itu sebagai tindak balas terhadap serangan Ukraine ke atas asrama pelajar di Donetsk, wilayah timur yang dikuasai pemisah pro-Rusia sejak 2014.

Kenyataan Bruce itu dilihat sebagai antara kritikan paling tegas terhadap Rusia daripada pentadbiran Presiden AS ketika ini, yang sebelum ini dilaporkan mengambil pendekatan lebih berhati-hati berbanding sekutu Barat lain.

Sementara itu, Duta Rusia ke PBB, Vassily Nebenzia, menegaskan semula bahawa serangan pada Ahad menyasarkan kemudahan utama ketenteraan dan perisikan Ukraine, selain mengulangi janji Moscow untuk melancarkan serangan baharu ke atas “pusat membuat keputusan dan pos kawalan”.

Must Watch Video

Advertisement