Skip to main content

Dunia

Lebih 40,000 sukarelawan bina 108 stupa sempena projek bandar baharu Bhutan

Sukarelawan melakukan sentuhan akhir pada sebuah stupa Buddha, atau dikenali sebagai chorten, yang merupakan sebahagian daripada pembinaan 108 stupa setinggi 15 meter setiap satu di Bhutan. - Foto REUTERS
Sukarelawan melakukan sentuhan akhir pada sebuah stupa Buddha, atau dikenali sebagai chorten, yang merupakan sebahagian daripada pembinaan 108 stupa setinggi 15 meter setiap satu di Bhutan. - Foto REUTERS

Advertisement

Ringkasan AI

  • Lebih 40,000 sukarelawan membina 108 stupa Buddha di selatan Bhutan sebagai simbol permulaan pembangunan Gelephu Mindfulness City.
  • Majlis pembinaan stupa setinggi 15 meter itu menarik kehadiran kira-kira 200,000 orang, hampir satu perempat penduduk Bhutan.
  • Projek bandar baharu ini bertujuan mempelbagaikan ekonomi Bhutan, menarik pelaburan, dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk golongan muda.
Advertisement

THIMPHU: Lebih 40,000 sukarelawan menyertai usaha membina 108 stupa Buddha di selatan Bhutan sebagai simbol permulaan pembangunan Gelephu Mindfulness City, projek bandar baharu yang diharapkan mampu merancakkan ekonomi negara Himalaya itu, lapor AFP.

Stupa setinggi kira-kira 15 meter itu didirikan pada Ahad di sepanjang tebing sungai sejauh 12 kilometer berhampiran sempadan India.

Menurut pihak berkuasa, pembinaan monumen keagamaan berkenaan dimulakan sejurus selepas tengah malam dengan penyertaan puluhan ribu sukarelawan.

Advertisement

Dalam ajaran Buddha yang diamalkan secara meluas di Bhutan, angka 108 dianggap suci dan mempunyai nilai simbolik yang mendalam.

AFP melaporkan majlis berkenaan menarik kehadiran kira-kira 200,000 orang, bersamaan hampir satu perempat daripada jumlah penduduk Bhutan.

Advertisement

Raja Bhutan, Jigme Khesar Namgyel Wangchuck, berkata beliau pada awalnya bimbang sasaran mendirikan 108 stupa dalam tempoh sehari tidak dapat dicapai.

"Namun semuanya berjalan lancar dan saya amat bersyukur," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Bandar Gelephu Mindfulness City yang dicetuskan oleh baginda dan direka oleh firma arkitek dari Denmark itu dilihat sebagai projek utama untuk mempelbagaikan ekonomi Bhutan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi golongan muda.

Kerajaan berharap bandar itu dapat menarik pelaburan dalam bidang teknologi hijau, pendidikan, pelancongan, perkhidmatan kewangan dan perniagaan mampan.

Bhutan kini berdepan pelbagai cabaran ekonomi termasuk kadar pengangguran yang meningkat, penurunan kadar kelahiran serta penghijrahan tenaga mahir ke luar negara.

Projek berkenaan turut dikaitkan dengan usaha Bhutan mengembangkan sektor aset digital.

Negara itu sebelum ini melombong Bitcoin menggunakan lebihan tenaga hidroelektrik dan berhasrat memanfaatkan aset digital bagi menyokong pembangunan bandar baharu tersebut.

Selain itu, Gelephu dijangka dihubungkan dengan rangkaian kereta api India dan bakal mempunyai lapangan terbang antarabangsa menjelang 2029.

Menurut AFP, bagi ramai rakyat Bhutan, pembinaan 108 stupa itu bukan sekadar upacara keagamaan, sebaliknya melambangkan cita-cita negara untuk mengimbangi pembangunan ekonomi dengan konsep kesejahteraan yang menjadi teras identiti Bhutan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement