BANGKOK: Semua kedutaan Thailand di rantau Asia Barat telah diarahkan untuk terus memantau ketegangan antara Iran dan Israel.

Kementerian Luar Thailand dalam kenyataan pada Isnin berkata ketika ini kira-kira 28,000 rakyat Thailand menetap di Israel dan kira-kira 300 orang di Iran.

Kementerian itu berkata kedutaan Thailand di Tel Aviv dan di Tehran sentiasa berhubung dengan masyarakat Thailand untuk memaklumkan perkembangan terkini mengenai situasi itu.

"Pada masa ini, tiada laporan mengenai warga Thailand di Israel atau Iran terjejas secara langsung atau mengalami kecederaan oleh keadaan semasa," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Iran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas Israel pada Sabtu, sebagai tindak balas terhadap serangan di Damsyik, Syria awal bulan ini.

Kementerian itu berkata Thailand amat prihatin terhadap situasi semasa yang berlaku di Timur Tengah dan menggesa semua pihak melaksanakan sekatan sepenuhnya untuk mengelak keadaan daripada menjadi lebih buruk kerana ia pasti akan memberi kesan kepada orang awam yang tidak bersalah.

"Kami akan terus mengikuti perkembangan dengan teliti dan akan menyelaras dengan agensi berkaitan mengenai bantuan selanjutnya kepada warga Thailand di kawasan terjejas," menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar Thailand menyeru warga Thailand di rantau itu untuk mengikuti berita dan nasihat pihak berkuasa tempatan serta kedutaan yang berkaitan dan menasihatkan mereka supaya menghubungi kedutaan di Tel Aviv dan Tehran untuk mendapatkan bantuan segera.

-- BERNAMA