Sebuah kedai roti di Hong Kong yang mahu kembali daripada kemerosotan akibat COVID-19 hadir dengan idea 'kek ilusi' yang merupakan objek dilihat setiap hari sehinggalah anda memakannya.

Pengasas Harley Cake Studio, Alison Chan dan Cony Lam mengemukakan idea itu setelah menghasilkan kek khusus untuk anak saudara Chan yang gemarkan pisang.

Kek berbentuk pisang itu dihasilkan dengan lapisan nipis fondant kuning yang dililit coklat dan krim mentega Meringue Itali.

Berkongsi ciptaan itu di media sosial membawa kepada gelombang baharu pelanggan ke kedai mereka yang mendorong mereka mengalihkan fokus perniagaan kepada pesanan khas dan bengkel untuk mereka yang mahu menghasilkan 'kek ilusi'

Kini mereka boleh menghasilkan kek yang kelihatan sama seperti apa sahaja bentuk seperti sepasang selipar mahupun span membasuh pinggan.

"Gelombang 'kek ilusi' ini telah menyelamatkan perniagaan kami," kata Chan.

Pada bulan Mac dan April, kedai kek ini hanya mendapat tiga hingga empat pesanan seminggu namun kini mereka mendapat 15 hingga 20 pesanan seminggu.

Kek ilusi berharga sekurang-kurangnya HK$1,500 (RM796) dengan sebilangannya berharga antara HK$12,000 (RM6,370) hingga HK$13,000 (RM6,901).

"Saya secara peribadi sangat gembira kerana kami telah sampai ke tahap ini, kami tidak pernah menyangka ini akan meletup.

"Kami hanya membuat barang-barang yang kami sukai, kami suka membakar kek, kami suka menghias kek dan kami hanya membuat pelbagai barang hanya untuk suka-suka," kata Chan.

Seorang pelanggan, Chase Ko yang menghadiri salah satu kelas peribadi Dear Harley Cake Studio berkata, dia belajar untuk menghasilkan kek khas untuk ulang tahun teman lelakinya.

“Teman lelaki saya sangat suka makanan Jepun dan Pokemon. Kek ilusi sushi mereka sangat comel jadi saya merancang versi lain dengan anak patung di atas nasi, ”kata Ko.


** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !