TOKYO: Parti pembangkang utama Jepun secara rasmi berpecah pada Rabu, membuka jalan bagi sebahagian ahlinya untuk menubuhkan parti baharu bagi "pembaharuan demokratik", lapor Kyodo News.
Junya Ogawa, yang meletak jawatan sebagai pemimpin Centrist Reform Alliance (CRA) berkata 48 daripada 49 ahli parlimennya telah keluar daripada gabungan itu.
Ditubuhkan lapan bulan lalu, blok pembangkang itu menghimpunkan ahli Dewan Perwakilan daripada Parti Demokratik Perlembagaan Jepun (CDPJ) yang cenderung ke arah haluan kiri dan Komeito, bekas rakan gabungan pemerintah.
Ogawa memberitahu satu mesyuarat bahawa beliau mahu parti baharu itu "menghargai prinsip demokrasi" dan menunjukkan ia sebagai "kuasa pembaharuan yang berani menentang kepentingan pihak berkepentingan tertentu."
Ogawa akan mengetuai parti baharu itu manakala Takeshi Shina akan berkhidmat sebagai Setiausaha Agung.
Parti baharu itu, yang nama rasminya dalam bahasa Inggeris masih belum diketahui, akan ditubuhkan oleh lima ahli dan dijangka mendaftar dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri seawal Khamis. Ia menyasarkan untuk menghimpunkan 20 bekas ahli parlimen CDPJ yang menganggotai gabungan itu.
Seramai 28 bekas penggubal undang-undang gabungan itu yang mempunyai kaitan dengan Komeito akan kembali ke parti berkenaan, yang menyasarkan untuk menyelesaikan proses itu pada minggu hadapan, menurut seorang ahli parlimen kanan.
Seorang ahli parlimen Dewan Rendah, So Watanabe, kekal dalam CRA bagi menguruskan penamatan operasi dan menerima geran parti yang menurut Ogawa diperlukan untuk melunaskan hutang.
CRA diasaskan pada Januari sebagai penentang kepada Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah dan berhaluan konservatif di bawah Perdana Menteri Sanae Takaichi. Ia kemudiannya mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya umum pada Februari.
Keputusan itu menggagalkan rundingan bagi ahli parlimen Dewan Tinggi dan organisasi tempatan CDPJ serta Komeito untuk melengkapkan penggabungan mereka ke dalam pakatan itu dan akhirnya mereka bersetuju untuk berpecah awal bulan ini.
CRA, parti baharu yang akan terdiri daripada bekas ahli Parlimen CDPJ dan Komeito merancang membentuk sebuah kaukus Parlimen di Dewan Rendah bagi mengekalkan kuasa tawar-menawar.
-- BERNAMA-KYODO