Skip to main content

Dunia

Kekalahan referendum buat Meloni semakin tercabar di pentas politik Itali

Italian Prime Minister Giorgia Meloni casts her vote during a referendum on reforms to Italy’s justice system before the polls close in Rome, Italy, March 23, 2026. REUTERS/Remo Casilli TPX IMAGES OF THE DAY
Meloni ketika membuang undi dalam referendum mengenai reformasi sistem kehakiman Itali sebelum pusat pengundian ditutup di Rom, Itali. - Foto REUTERS

ROM: Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, berdepan tamparan politik terbesar sejak mengambil alih kuasa apabila beliau tewas dalam referendum penting berhubung reformasi perlembagaan yang bertujuan merombak sistem kehakiman negara.

Keputusan rasmi menunjukkan kirakira 54 peratus pengundi memilih “No”, menolak cadangan kerajaan, manakala sekitar 46 peratus memilih “Yes” sebagaimana yang didukung Meloni.

Advertisement

Dalam video yang dimuat naik ke media sosial sebaik keputusan awal diketahui, Meloni mengakui kekalahan itu sambil menyatakan rakyat Itali telah membuat pilihan “dengan jelas”.

Beliau berkata keputusan itu perlu dihormati namun menzahirkan rasa kesal atas “peluang yang hilang untuk memodenkan Itali”.

Kekalahan ini merupakan tamparan pertama yang signifikan buat Meloni dan gabungan kanan beliau yang sejak tiga tahun setengah lalu menikmati tempoh kestabilan politik yang jarang berlaku di Itali.

Penganalisis melihat keputusan referendum ini sebagai mesej bahawa pengundi mula mencari alternatif menjelang pilihan raya umum tahun depan.

Tinjauan selepas mengundi pada awalnya menunjukkan persaingan sengit, namun jurang kemenangan kem “No” melebar sepanjang proses kiraan berlangsung.

Dengan penyertaan hampir 60 peratus, kadar mengundi yang tinggi itu tidak memihak kepada kerajaan meskipun lazimnya dianggap menyebelahi pihak pemerintah.

Reformasi yang ditolak itu mencadangkan pemisahan jelas antara kerjaya hakim dan pendakwa raya, menubuhkan badan pentadbir yang berasingan serta mewujudkan mahkamah disiplin baharu.

Kerajaan berhujah perubahan ini penting untuk memperkukuh kebebasan kehakiman dan meningkatkan ketelusan.

Namun pembangkang mendakwa ia akan mengganggu keseimbangan kuasa yang telah dipertahankan sejak kejatuhan fasisme, serta membuka ruang campur tangan politik dalam institusi kehakiman.

Ramai rakyat turut mengakui persoalan teknikal referendum itu sukar difahami, sekali gus mengubah undian menjadi referendum terhadap pencapaian Meloni sendiri.

Masa pengundian berlaku ketika imej Meloni tercalar oleh beberapa isu global.

Hubungannya yang rapat dengan Presiden AS Donald Trump menjadi liabiliti, terutama ketika perang AS-Israel di Asia Barat semakin tidak popular dalam kalangan rakyat Itali.

Pada masa sama, ekonomi Itali yang lembap serta kebimbangan terhadap kenaikan kos tenaga menambahkan tekanan terhadap kerajaan.

Walaupun Meloni menegaskan bahawa beliau tidak akan meletakkan jawatan, kekalahan ini melemahkan auranya sebagai tokoh “kebal” yang sering menang dalam pilihan raya sebelum ini.

Bekas Perdana Menteri Matteo Renzi, yang pernah meletakkan jawatan selepas tewas dalam referendum 2016, memberi amaran bahawa kerajaan telah kehilangan “sentuhan magis” dan perlu lebih peka terhadap suara rakyat.

Ketua Parti Demokratik, Elly Schlein, pula menyifatkan keputusan ini sebagai bukti wujudnya alternatif sebenar kepada kerajaan Meloni, sekaligus menyuntik semangat baharu kepada pembangkang menjelang pilihan raya akan datang.

Referendum ini dilihat sebagai titik perubahan penting.

Walaupun Meloni terus menegaskan komitmen untuk mentadbir negara dengan “keseriusan dan tekad”, kekalahan ini membuka ruang keraguan dalam kalangan rakan gabungan serta penyokongnya sendiri.

Penganalisis menjangkakan tekanan dalaman dan luaran terhadap pentadbiran Meloni akan semakin meningkat, terutamanya apabila ekonomi kekal lembap dan kos sara hidup terus menekan rakyat.

Dengan pilihan raya umum hanya setahun lagi, referendum ini bukan sekadar kekalahan simbolik, ia berpotensi mengubah landskap politik Itali dan menamatkan imej Meloni sebagai pemimpin paling dominan dalam dekad terkini.

 

 

Must Watch Video