Skip to main content

Dunia

Kekosongan jawatan di UK susut ke paras terendah dalam lima tahun

71726195424_London.jpg
Syarikat kecil terus menyatakan tekanan akibat peningkatan kos upah sebagai antara faktor yang menyebabkan mereka menangguhkan pengambilan kakitangan baharu. - Gambar hiasan
Advertisement

LONDON: Kekosongan jawatan di United Kingdom (UK) susut ke paras terendah dalam tempoh lima tahun apabila syarikat kecil terus berhati-hati mengambil pekerja berikutan peningkatan kos upah, menurut data rasmi, lapor PA Media/dpa.

Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS) memaklumkan jumlah kekosongan jawatan berkurang kira-kira 8,000 dalam tempoh tiga bulan hingga Ogos berbanding suku sebelumnya, menjadikan keseluruhannya 702,000.

Angka itu merupakan paras terendah sejak musim bunga 2021 atau, jika tempoh pandemik COVID-19 diketepikan, yang terendah dalam lebih sedekad.

Menurut ONS, syarikat kecil terus menyatakan tekanan akibat peningkatan kos upah sebagai antara faktor yang menyebabkan mereka menangguhkan pengambilan kakitangan baharu.

Data menunjukkan pertumbuhan purata pendapatan mingguan tidak termasuk bonus kekal pada 3.5 peratus dalam tempoh tiga bulan hingga Julai.

Pertumbuhan pendapatan sebenar selepas diselaraskan dengan Indeks Harga Pengguna pula berada pada 0.8 peratus.

Kadar pengangguran UK juga kekal tidak berubah pada 4.9 peratus dalam tempoh tiga bulan hingga Julai.

Bagaimanapun, data terkini menganggarkan jumlah pekerja dalam senarai penggajian merosot 26,000 pada Ogos kepada 30.2 juta, selepas susut 19,000 pada Julai, walaupun angka terbaharu itu masih tertakluk kepada semakan.

Pengarah Statistik Ekonomi ONS Liz McKeown berkata jumlah pekerja dalam senarai penggajian terus mencatatkan penurunan kecil, dengan penyusutan sepanjang tahun lalu paling ketara dalam sektor peruncitan dan hospitaliti.

“Kekosongan jawatan kekal pada paras terendah dalam lebih sedekad jika tempoh pandemik diketepikan, dengan syarikat kecil terus melaporkan bahawa peningkatan kos buruh mempengaruhi keputusan mereka untuk mengambil pekerja,” katanya.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

Must Watch Video

Advertisement