HYDERABAD: Parti pimpinan pelakon filem yang menceburi bidang politik, Vijay, yang memenangi Pilihan Raya Dewan Undangan pada April, memohon mahkamah tertinggi India untuk mengarahkan gabenor negeri supaya menjemput parti itu membentuk kerajaan seterusnya.
Vijay muncul sebagai pencabar terkuat bagi jawatan Ketua Menteri selepas partinya, Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) memenangi 108 kerusi dalam Dewan Undangan yang mempunyai 234 ahli, diikuti oleh 59 kerusi bagi parti Dravida Munnetra Kazhagam (DMK) pimpinan bekas Ketua Menteri, M.K. Stalin dan 47 kerusi bagi All India Anna Dravida Munnetra Kazhagam (AIADMK), sebuah parti serantau yang bersekutu dengan Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi.
Vijay bertemu Gabenor Tamil Nadu, Rajendra Vishwanath Arlekar pada petang Jumaat untuk menuntut hak membentuk kerajaan.
TVK kekurangan daripada jumlah majoriti 118 kerusi yang diperlukan tetapi telah menerima sokongan daripada Kongres Kebangsaan India pimpinan Ketua Pembangkang, Rahul Gandhi serta parti-parti berhaluan kiri bagi mencukupkan kekurangan jumlah berkenaan.
Seorang ahli TVK telah memfailkan petisyen di Mahkamah Agung, bagi memohon arahan kepada Gabenor Tamil Nadu untuk menjemput parti terbesar tunggal itu bagi membentuk kerajaan.
Stalin dalam satu hantaran di laman media sosial X miliknya pada Jumaat turut menyuarakan kebimbangan mengenai kelewatan pembentukan kerajaan dan menggesa gabenor supaya mengambil "tindakan segera" mengikut Perlembagaan.
Jawatan gabenor negeri di India sebahagian besarnya bersifat istiadat, namun peranan ini boleh menjadi penting dalam pertikaian Perlembagaan atau apabila pilihan raya menghasilkan Dewan Undangan yang tergantung.
Sementara itu, ahli Dewan Undangan TVK menginap di sebuah pusat peranginan mewah di Mamallapuram, kira-kira 60 kilometer dari ibu negeri Chennai, ketika gerakan politik untuk kerajaan baharu diteruskan.
Begitu juga, ramai penggubal undang-undang AIADMK telah dipindahkan ke sebuah pusat peranginan di Puducherry.
Amalan mengasingkan penggubal undang-undang ini dikenali secara meluas di India sebagai "politik resort" iaitu parti politik cuba menghalang saingan mereka daripada memancing ahli mereka dalam situasi perebutan kuasa perundangan yang sengit.
Tamil Nadu mengadakan pilihan raya pada bulan lepas bersama-sama dengan negeri Assam, West Bengal, Kerala, dan wilayah tadbiran persekutuan Puducherry.
Pengiraan undi telah dijalankan pada 4 Mei.
-- BERNAMA