KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Christchurch menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol terhadap dalang serangan dua masjid tahun lalu disambut baik mangsa dan ahli keluarga individu yang terkorban.

Mereka yang memegang sepanduk berbentuk hati dan kata-kata semangat seperti 'kami sentiasa bersama anda' bersorak sambil melambaikan tangan di perkarangan mahkamah sebaik keputusan diumumkan.

Warga Australia Brenton Tarrant, 29 tahun, mengaku bersalah atas tuduhan membunuh 51 orang, serta cubaan untuk membunuh 40 orang lain selain satu tuduhan melakukan keganasan.

Hakim Cameron Mander menyifatkan kesalahan dilakukan Tarrant sebagai cukup jahat sehingga hukuman penjara tidak mampu menebusnya.

Serangan yang dilakukan Tarrant pada 15 Mac 2019 di bandar terbesar di selatan pulau New Zealand itu disiarkan secara langsung dalam Facebook melalui kamera yang dipasang pada badannya.

BACA: Serangan Christchurch: Suspek bercadang bakar masjid selepas serangan

Sebelum serangan tersebut, Tarrant didakwa telah mengumpulkan banyak maklumat mengenai pelan dalaman masjid, lokasi, waktu solat dan tarikh penting kalendar umat Islam ‘bagi memastikan waktu paling sibuk di masjid’.

Sementara itu, ibu pesalah, Sharon Tarrant enggan memberi sebarang komen ketika wartawan Network Nine cuba mendapatkan reaksinya di luar rumah yang terletak di Near Grafton.