DUNIA
Kem terbakar, 2,000 pelarian Rohingya hilang tempat tinggal

Pelarian Rohingya melihat tempat tinggal mereka yang musnah dijilat api susulan kebakaran di Kem Nayapara, daerah Cox's Bazar, Bangladesh, 14 Jan, 2021. (Foto AP)
LEBIH 2,000 pelarian Rohingya di sebuah kem di Bangladesh hilang tempat tinggal selepas api yang marak memusnahkan lebih 500 kediaman mereka.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa akibat insiden yang berlaku pada awal pagi Khamis itu.
Sekurang-kurangnya 10 orang dilaporkan cedera ketika mereka lari menyelamatkan diri dalam kejadian sekitar jam 2 pagi waktu tempatan di Kem Nayapara.
Menurut Pesuruhjaya Pelarian Bangladesh, Rezwan Hayat, rumah mangsa kebanyakannya dibuat dari timah dan buluh.
Bekalan bahan sama diberikan kepada mangsa terjejas untuk membina semula kediaman terbakar.
Nayapara di tenggara Bangladesh menempatkan puluhan ribu pelarian Rohingya yang berasal dari Myanmar, termasuk ramai yang telah tinggal di sana sejak tahun 1990-an.
Kem-kem yang buruk dan sesak di kawasan itu menempatkan hampir 900,000 orang Rohingya yang kebanyakannya melarikan diri dari serangan kejam tentera Myanmar pada 2017.
Hayat berkata, silinder gas memasak yang digunakan secara meluas di kem pelarian disyaki menjadi punca kebakaran.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami