ISTANBUL: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, pada Jumaat berkata usaha mengembalikan diplomasi dengan Amerika Syarikat (AS) ke haluan yang betul "tidak mustahil," susulan perbincangan dengan Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar di Tehran, lapor Anadolu Ajansi.
Araghchi menerusi X berkata beliau telah mengadakan "perbincangan kreatif" dengan Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman.
"Mengembalikan diplomasi ke haluan yang betul bukanlah sesuatu yang mustahil. Ia bergantung pada kefahaman AS terhadap satu fakta mudah: tekanan tidak berkesan," katanya.
"AS perlu membina kepercayaan, berkomunikasi dengan penuh hormat, mengiktiraf hak-hak kami dan mematuhi komitmen," tambah Menteri Luar Iran itu.
Sheikh Mohammed melawat Tehran pada Khamis ketika Doha meneruskan usaha diplomatik bagi meredakan ketegangan antara Iran dan AS.
Semasa lawatan itu, beliau mengadakan perbincangan dengan Presiden Iran Masoud Pezeshkian, Araghchi, Speaker Parlimen Mohammad Bagher Qalibaf dan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Mohsen Rezaei.
Perbincangan merangkumi usaha mewujudkan suasana bagi menyambung semula dialog, serta cadangan mengenai koridor navigasi bersama sementara melalui Selat Hormuz dan usaha pemusnahan periuk api.
Lawatan itu merupakan kunjungan pertama Menteri Luar Qatar ke Iran sejak konflik bermula dengan serangan AS dan Israel ke atas Iran pada Februari.
-- BERNAMA-ANADOLU