PHNOM PENH: Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN ke-55 (AMM-55) di Phnom Penh, Kemboja, membuka tirainya pada Rabu.

Berucap pada majlis perasmian, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen mengimbau kembali sejarah 55 tahun ASEAN dan pencapaian luar biasa yang menjadikan Asia Tenggara sebagai sebuah rantau kerjasama, membangun dan dipercayai, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Beliau berkata keadaan serantau dan global yang tidak menentu disebabkan oleh kesan yang dicetuskan COVID-19, ketegangan dalam kalangan negara besar dan krisis di Myanmar dan Ukraine.

Menurut beliau, cabaran seperti perubahan iklim, bencana alam, keselamatan tenaga dan makanan pula telah memaksa ASEAN dan rantau ini menempuhi pelbagai pengalaman pahit.

Selain itu, ASEAN perlu bersatu dan berusaha untuk membina komuniti yang bersatu padu, inklusif dan bekerjasama dengan semangat "Perpaduan dalam Kepelbagaian," gesa Hun Sen.

Beliau berkata dengan moto "ASEAN: Bersama Menangani Cabaran," badan serantau itu mesti menunjukkan komitmen dalam mengatasi kesulitan bersama, terutamanya dalam meningkatkan pemulihan pasca pandemik, melaksanakan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan memuktamadkan Kod Tatalaku (CoC) di Laut Timur (merujuk kepada Laut China Selatan) yang berkesan dan konsisten dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982.

Hun Sen menyeru ASEAN untuk mengukuhkan penyelarasan dalam responsnya terhadap perubahan iklim dan isu alam sekitar, mempertimbangkan penubuhan Perjanjian Hijau ASEAN dan memanfaatkan RCEP.

-- BERNAMA