Skip to main content

Dunia

Kenaikan harga minyak dijangka dorong kadar faedah AS lebih tinggi – Pakar

minyak, oil_AP
Harga minyak yang tinggi dijangka mendorong Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) untuk menaikkan kadar faedah. - Gambar fail/AP
Advertisement

MOSCOW: Harga minyak yang tinggi dijangka mendorong Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) untuk menaikkan kadar faedah, kata Profesor Kerajaan di Cornell University, Richard Bensel kepada RIA Novosti.

"Dengan harga minyak mencecah atau melebihi US$100 setong dan dijangka kekal tinggi walaupun berkurangan sedikit, Rizab Persekutuan berkemungkinan akan menaikkan kadar faedah. Kenaikan terkini oleh Kesatuan Eropah dan Jepun menjadikan langkah sama oleh Rizab Persekutuan lebih berkemungkinan berlaku," kata Bensel.

Pakar berkenaan memberi amaran bahawa harga minyak mentah yang sangat tinggi akan memberi kesan rantaian kepada ekonomi dan meningkatkan tekanan inflasi terhadap hampir semua barangan yang perlu diangkut secara fizikal.

"Sebaik sahaja ekonomi menyesuaikan diri dengan tekanan berkenaan dengan menaikkan harga runcit, adalah sukar untuk menurunkannya semula walaupun harga minyak mentah merosot. Rizab Persekutuan mesti mengambil kira hakikat itu dalam dasar monetarinya," kata beliau.

Bank Pusat Eropah menaikkan tiga kadar faedah utamanya sebanyak 25 mata asas pada Khamis atas alasan tekanan inflasi yang berterusan berpunca daripada konflik di Asia Barat. 

Rizab Persekutuan AS dijadual membuat keputusan mengenai kadar faedahnya minggu depan.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

Must Watch Video

Advertisement