Skip to main content

Malaysia

Media Mulia laksana Program Cuti Berbayar libatkan hampir 100 pekerja

Media Mulia Sdn Bhd sedang melaksanakan penilaian strategik terhadap model perniagaan, struktur operasi dan hala tuju syarikat melibatkan pelaksanaan Program Cuti Berbayar ke atas hampir 100 pekerjanya.
Media Mulia Sdn Bhd sedang melaksanakan penilaian strategik terhadap model perniagaan, struktur operasi dan hala tuju syarikat melibatkan pelaksanaan Program Cuti Berbayar ke atas hampir 100 pekerjanya.

Advertisement

Advertisement

KUALA LUMPUR: Media Mulia Sdn Bhd sedang melaksanakan penilaian strategik terhadap model perniagaan, struktur operasi dan hala tuju syarikat melibatkan pelaksanaan Program Cuti Berbayar ke atas hampir 100 pekerjanya. 

Pengarah merangkap Ketua Pegawai Kewangan Media Mulia Sdn Bhd, Abd. Wahid Idris berkata, langkah rasionalisasi itu diambil bagi memastikan kelangsungan serta kemampanan perniagaan susulan perubahan landskap industri media yang kini memberi tumpuan kepada platform digital.

Bagaimanapun, beliau berkata, syarikat tetap komited meneruskan penerbitan akhbar bercetak untuk pembaca yang masih setia mengikutinya.

Advertisement

"Program (Cuti Berbayar) ini bertujuan menilai semula keperluan operasi, penggunaan sumber manusia dan keupayaan syarikat untuk memberi penekanan kepada kan­dungan digital, platform penyam­paian berita yang lebih berkualiti dan efektif serta kemampanan perniagaan syarikat untuk masa hadapan," katanya menerusi kenyataan yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini.

Abd. Wahid berkata, langkah rasionalisasi itu akan terus mengekalkan identiti serta legasi jenama Utusan Malaysia dan Kosmo!, di samping memelihara keunikan kandungan, identiti editorial, pendekatan pemberitaan serta kredibiliti kedua-dua penerbitan berkenaan.

Advertisement

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak pengurusan sedia ada sebelum ini telah menyelamatkan kedua-dua jenama akhbar bersejarah itu selepas pemilik terdahulu menamatkan operasinya pada 2019.

"Justeru, penyesuaian strategik perlu demi memastikan kelangsungan kedua-dua je­nama dan organisasi ini supaya tidak berulang nasib sama seperti sebelumnya," katanya. 

Menyentuh mengenai nasib petugas yang terlibat, Abd. Wahid berkata, syarikat tetap komited menjaga kebajikan serta hak pekerja mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Beliau berkata, langkah transformasi itu perlu dilaksanakan bagi menjamin masa depan jenama Utusan Malaysia dan Kosmo!, dengan tumpuan berterusan diberikan terhadap penghasilan kandungan editorial yang lebih berkualiti, berwibawa serta dipercayai.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement