WASHINGTON: Kerajaan AS telah mengenakan sekatan ke atas pegawai Rusia termasuk visa mereka kerana terlibat dalam penculikan kanak-kanak Ukraine, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Jabatan Negara AS pada Khamis mengumumkan sekatan ke atas mana-mana individu Rusia "yang dilaporkan telah memainkan peranan dalam pengusiran secara paksa kanak-kanak Ukraine dari kawasan yang diduduki Rusia di Ukraine ke Rusia, dan/atau memindahkan kanak-kanak Ukraine dalam kawasan yang diduduki Rusia di Ukraine."

"Kanak-kanak adalah mangsa perang yang paling tidak bersalah: kami tidak melupakan kanak-kanak Ukraine," menurut Washington dalam satu kenyataan rasmi.

Sekatan itu membekukan aset mana-mana individu terlibat yang tinggal di Amerika Syarikat, serta menghalang mereka daripada menjalankan perniagaan di AS. Dalam beberapa kes, sekatan visa juga dikenakan.

Sejak meletusnya perang Rusia di Ukraine Februari lalu, Kyiv berulang kali menuduh Moscow menculik kanak-kanak Ukraine. Pihak berkuasa Rusia menafikan perkara itu dan mengatakan mereka memindahkan, bukan menghantar pulang kanak-kanak.

Pada bulan Mac, Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang berpangkalan di The Hague mengeluarkan waran tangkap untuk Presiden Rusia Vladimir Putin dan Pesuruhjaya Hak Kanak-Kanak Rusia, Maria Lvova-Belova. Mereka berdua dituduh melakukan jenayah perang, termasuk penculikan kanak-kanak dari wilayah Ukraine yang diduduki.

Sementara itu, Presiden AS Joe Biden dalam satu kenyataan berkata AS sedang bekerjasama dengan negara lain untuk memastikan tentera Rusia bertanggungjawab atas jenayah perang itu.

"Kanak-kanak ini telah dilarikan dan dipisahkan daripada keluarga mereka. Ia tidak wajar," kata Biden.

Ukraine pada Khamis menyambut hari kemerdekaannya sejak 24 Ogos 1991.

--BERNAMA-dpa