MALAYSIA
Lelaki hilang, kereta terjunam di sungai: Keluarga sangka gurauan
MUAR: Kehilangan seorang lelaki selepas kenderaannya ditemui terjunam ke dalam Sungai Tui di Jalan Bukit Kepong, di sini, petang semalam, pada awalnya disangkakan gurauan oleh keluarga.
Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang juga pempengaruh permotoran dilaporkan hilang selepas kereta jenis Perodua Axia yang dipandunya ditemui di dasar sungai namun mangsa tidak berada di dalam kenderaan.
Adiknya, Tengku Abdul Aziz, 30, memberitahu Bernama, abangnya dikenali sebagai orang yang suka bergurau dan membuat kejutan.
"Kami pada awalnya menyangka dia hanya bergurau seperti sebelum ini namun mulai risau apabila tidak dapat mengesannya dan lokasi kereta ditemui pula tidak jauh daripada tempat kami terakhir bertemu," katanya ketika dihubungi pada Selasa.Beliau berkata, kali terakhir dia bertemu abangnya, yang lebih dikenali sebagai Ija, adalah pada kira-kira 2 petang semalam selepas mereka bergerak secara berasingan dari Johor Bahru ke Muar bagi urusan perniagaan.
"Kami bertolak dari Johor Bahru menaiki kenderaan berasingan atas urusan perniagaan. Saya ke tempat lain manakala abang memaklumkan mahu ke bengkel kawannya di Parit Jawa.
"Saya dimaklumkan oleh keluarga bahawa kali terakhir mereka berhubung dengannya adalah sekitar pukul 4 petang namun selepas itu dia gagal dihubungi sehingga malam," katanya.
Tengku Abdul Aziz berkata, dia dan kakak iparnya turut menghubungi pemilik bengkel tersebut namun dimaklumkan abangnya tidak datang ke situ seperti yang dirancang.
Terdahulu Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Penguasa Bomba Kanan I Nor Alfatah Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai penemuan kenderaan tersebut pada 3.22 petang Selasa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, usaha mencari mangsa giat dijalankan.
Polis turut meminta saksi kejadian menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami