RAMALLAH/BAITULMUQADDIS: Kepresidenan Palestin menggesa pada Selasa supaya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersidang segera dan mengambil keputusan yang mengikat bagi menghentikan apa yang disifatkannya sebagai “serangan Israel” terhadap kemudahan PBB di Baitulmuqaddis dan Kem Pelarian Qalandia di utara bandar itu, lapor Xinhua.
Dalam kenyataan media yang diterbitkan agensi berita rasmi Palestin WAFA, kepresidenan itu menggesa agar institusi PBB dilindungi agar dapat melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap pelarian Palestin selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Gesaan itu dibuat selepas Menteri Keselamatan Israel Itamar Ben-Gvir menyerbu kemudahan Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) di Kem Pelarian Qalandia pada awal Selasa.
Kepresidenan Palestin berkata tindakan menyasarkan kemudahan dan institusi PBB di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk di Baitulmuqaddis adalah “pelanggaran serius” terhadap undang-undang antarabangsa dan kekebalan institusi antarabangsa.
Pada Selasa juga, seorang Anggota Parlimen Israel memasuki sebuah kampung Palestin di Tebing Barat yang diduduki dan memusnahkan sebuah monumen yang memperingati pejuang Palestin, menurut laporan penyiar milik rejim Israel Kan TV News dan beberapa media lain.
Zvi Sukkot, Anggota Parlimen daripada parti sayap kanan Religious Zionist serta Ketua Jawatankuasa Pendidikan Parlimen, memasuki Kampung Madama berhampiran Nablus di utara Tebing Barat dengan diiringi tentera Israel dan pasukan Polis Sempadan, menurut laporan berkenaan.
-- BERNAMA-XINHUA