KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memperuntukkan RM40 juta bagi melaksanakan agenda rejuvenasi outlet pemasaran sepanjang Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Menerusi peruntukan itu, FAMA menyasarkan pembangunan 241 outlet baharu selain menambah baik 411 outlet sedia ada dalam usaha memperluas akses pasaran hasil pertanian serta produk agromakanan tempatan.
Pengarah Kanan Bahagian Institusi Pasaran FAMA, Intan Suraya Ibeni Hajar berkata, inisiatif berkenaan bukan hanya melibatkan pembangunan dan naik taraf fizikal outlet, malah memberi tumpuan kepada pengukuhan ekosistem perniagaan serta peningkatan keupayaan usahawan.
“Rejuvenasi bukan sekadar mencantikkan outlet. Apa yang lebih penting ialah bagaimana kita membangunkan ekosistem perniagaan yang lebih moden supaya outlet kekal relevan, usahawan lebih berdaya saing dan pengguna mendapat pengalaman serta akses kepada produk agromakanan yang lebih baik,” katanya.
Peruntukan RM40 juta itu meliputi enam skop utama termasuk penambahan outlet baharu, penambahbaikan outlet sedia ada, pembangunan ekosistem peruncitan dan pemborongan serta pembangunan premis usahawan runcit kepada Agrobazaar Rakyat Pemborongan.
Ia turut melibatkan aspek latihan dan peningkatan kapasiti usahawan.
Daripada 241 outlet baharu yang disasarkan, antaranya melibatkan Pasar Tani, Agrobazaar Rakyat, Agrobazaar Kedai Rakyat, Gerai Buah-Buahan Segar dan Karavan Tani.
Sementara itu, kerja penambahbaikan terhadap 411 outlet sedia ada akan memberi tumpuan kepada usaha menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif dan teratur.
Dalam memperkukuh rantaian pemasaran, FAMA turut menyasarkan pembangunan 15 outlet Agrobazaar Rakyat Pemborongan serta empat outlet di bawah ekosistem pemborongan.
Usaha itu bertujuan mengukuhkan hubungan antara pengeluar, pemborong, peruncit dan pengguna.
Pada masa sama, FAMA akan memperluas penggunaan transaksi tanpa tunai, media sosial serta platform digital untuk membantu usahawan mengembangkan saluran jualan dan mengurangkan kebergantungan kepada perniagaan secara fizikal.
Sebanyak 480 program promosi dan advokasi turut dirancang bagi meningkatkan kesedaran pengguna terhadap outlet pemasaran FAMA serta menggalakkan pembelian produk pertanian dan agromakanan tempatan.
Aspek pembangunan usahawan pula akan diperkukuh menerusi 32 program latihan dan peningkatan kapasiti, merangkumi dua konvensyen usahawan, 20 kursus dan 10 program Mahasiswa Pasar Tani.
Program Mahasiswa Pasar Tani memberi tumpuan kepada penyertaan belia dan mahasiswa dalam bidang keusahawanan agromakanan, termasuk menerusi penggunaan teknologi serta pemasaran digital.
Menurut Intan Suraya, pembangunan generasi pelapis menjadi antara keutamaan bagi membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda meneroka sektor berkenaan menerusi pendekatan pemasaran dan model perniagaan lebih moden.
“Kita mahu golongan muda melihat sektor agromakanan sebagai satu bidang keusahawanan yang mempunyai potensi.
“Dengan teknologi, pemasaran digital dan model perniagaan yang lebih moden, terdapat ruang yang luas untuk generasi muda meneroka sektor ini,” katanya.
Dalam pada itu, usahawan mikro turut diberi perhatian menerusi projek Agro-Jaja yang menyasarkan 100 penjaja di RTC Kelantan untuk menerima manfaat melalui pembangunan imej dan penyediaan peralatan perniagaan.
“Matlamat akhirnya ialah memastikan pembangunan yang dilaksanakan memberi manfaat kepada kumpulan sasar. Kita mahu outlet yang lebih baik, usahawan berkembang, pasaran diperluaskan dan pengguna turut mendapat manfaat,” katanya.
Agenda bertemakan “Pengukuhan Pemasaran Menjamin Kedaulatan Makanan” itu memberi tumpuan kepada pengukuhan rangkaian pemasaran bagi memastikan hasil pengeluar mempunyai akses pasaran lebih luas dan dapat disalurkan kepada pengguna dengan lebih cekap.