KUALA LUMPUR: Selepas mencipta kejayaan di Sukan SEA, Piala Dunia dan Sukan Asia, skuad sepak takraw negara kini mengintai satu lagi kejuaraan berprestij yang belum pernah dimenangi, Piala Raja Thai.
Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, gelaran Piala Raja Thai menjadi antara misi utama yang mahu direalisasikan tahun depan bagi melengkapkan rentetan kecemerlangan skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.
Beliau berkata, Malaysia akan memburu sekurang-kurangnya satu gelaran tanpa mengira acara sama ada regu berpasukan, regu atau kuadran, malah tidak menolak kemungkinan menyasarkan lebih daripada satu kejuaraan.
"Itu satu lagi misi yang saya belum selesaikan iaitu Piala Raja Thai. Memang tahun depan misi saya ialah untuk cuba mendapatkan emas ataupun muncul juara di Piala Raja Thai.
"Kalau dapat berpasukan, regu, kuadran ataupun kesemuanya sekali. Itulah antara yang saya cuba (realisasikan)," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mohd Sumali berkata, biarpun Malaysia masih belum berjaya menjuarai Piala Raja Thai, kejayaan menewaskan Thailand di gelanggang lawan pada Sukan SEA 2025 di Bangkok sedikit sebanyak mengubat kekecewaan itu.
Beliau berkata, kemenangan dalam acara regu berpasukan lelaki dan regu lelaki pada temasya berkenaan turut membuktikan bahawa skuad negara memiliki kemampuan untuk menewaskan musuh tradisi itu di bumi Thailand.
"Kita sudah menang dua acara, regu dan berpasukan di Thailand walaupun bukan di Piala Raja Thai. Itu sedikit sebanyak mengubat hati kita, maksudnya menang Piala Raja Thai belum lagi tapi kalau kalahkan Thailand di bumi Thailand kita sudah ada sejarah itu pada Sukan SEA,” katanya.
Skuad sepak takraw negara sebelum ini mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih dua pingat emas menerusi acara regu berpasukan lelaki dan regu lelaki pada Sukan SEA Thailand 2025.
Momentum kecemerlangan itu diteruskan apabila Malaysia muncul juara acara regu berpasukan lelaki pada Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Kuala Lumpur, Mei lepas.
Malaysia kemudian melakar satu lagi pencapaian bersejarah pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun baru-baru ini apabila menamatkan penantian 36 tahun untuk kembali meraih emas acara regu berpasukan lelaki.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia memenangi emas Piala Raja Thai adalah menerusi acara regu berpasukan pada edisi 1988.
Pada edisi tahun ini, skuad negara kendalian Ahmad Jais Baharun sekali lagi terpaksa berpuas hati sebagai naib juara selepas tewas 0-2 kepada Thailand pada aksi final di Bangkok, Ogos lepas.
-- BERNAMA