Skip to main content

Dunia

Kepresidenan Palestin kecam langkah Israel isytihar tanah Tebing Barat harta kerajaan

Palestinians walk along the separation barrier between the West Bank and east Jerusalem neighborhood of Beit Hanina, Sunday Feb. 15, 2026. (AP Photo/Ohad Zwigenberg)
Penduduk Palestin berjalan di sepanjang penghadang pemisah antara Tebing Barat dan kejiranan Beit Hanina di timur Baitulmaqdis. - Foto AP

RAMALLAH: Kepresidenan Palestin memberi amaran mengenai kesan buruk daripada keputusan kerajaan Israel yang membolehkannya mengisytiharkan tanah di Tebing Barat yang diduduki sebagai harta kerajaan, sambil menyifatkan langkah itu sebagai peningkatan ketegangan yang serius dan pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Dalam satu kenyataan, Kepresidenan Palestin berkata keputusan mengklasifikasikan tanah Tebing Barat sebagai tanah kerajaan di bawah pihak berkuasa Israel merupakan ancaman langsung terhadap keselamatan dan kestabilan.

Advertisement

Ia menegaskan bahawa langkah itu bersamaan dengan pengilhakan secara de facto ke atas wilayah Palestin yang diduduki serta menandakan bermulanya pelaksanaan pelan pengilhakan yang bertujuan mengukuhkan pendudukan menerusi peluasan penempatan haram.

Kepresidenan Palestin menyatakan bahawa langkah berkenaan secara berkesan membatalkan perjanjian yang telah ditandatangani dan jelas bercanggah dengan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya Resolusi 2334 yang menegaskan bahawa semua aktiviti penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur, tidak mempunyai kesahan undang-undang dan merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Menurut kenyataan itu, langkah unilateral berkenaan tidak akan memberikan sebarang legitimasi kepada pendudukan Israel ke atas tanah Negara Palestin dan tidak akan mengubah status undang-undang serta sejarah bahawa Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur dan Semenanjung Gaza merupakan wilayah Palestin yang diduduki di bawah undang-undang antarabangsa.

Kepresidenan Palestin menyeru masyarakat antarabangsa – terutamanya Majlis Keselamatan PBB dan pentadbiran Amerika Syarikat – supaya campur tangan segera bagi menghentikan tindakan Israel serta memaksa Israel mematuhi undang-undang antarabangsa dan resolusi antarabangsa berkaitan bagi meredakan ketegangan dan memulihkan kestabilan.

-- BERNAMA-WAFA

 

 

Must Watch Video