Skip to main content

Dunia

Serangan penyerang bermotosikal di tiga kampung Nigeria ragut puluhan nyawa

A burnt motorcycle at Woro community, after an overnight attack by gunmen that killed dozens of residents, in Kaiama Local Government Area of Kwara State, Nigeria, February 5, 2026. REUTERS/Ibrahim Ndamitso
Kumpulan penyerang tiba dengan menaiki 41 motosikal, setiap satu membawa dua atau tiga lelaki bersenjata. - Foto REUTERS

ABUJA: Serangan bersenjata oleh kumpulan penjenayah bermotosikal pada awal pagi Sabtu meragut puluhan nyawa di tiga buah kampung di wilayah barat laut Nigeria, menurut pihak berkuasa tempatan.

Penyerang melepaskan tembakan ke arah penduduk, membakar rumah dan menculik ramai orang dalam serangan yang berlaku di negeri Niger, kata Ketua Agensi Pengurusan Kecemasan Negeri (SEMA), Musa Saidu, kepada BBC.

Advertisement

Serangan yang berlaku di kampung Tunga-Makeri, sebelum merebak ke kampung berdekatan iaitu Konkoso dan Pissa, dipercayai tidak jauh dari lokasi pembunuhan beramai-ramai oleh kumpulan pengganas awal bulan ini yang mengorbankan lebih 100 orang.

Setakat Sabtu, sekurang-kurangnya 29 kematian telah disahkan oleh pihak berkuasa, namun Saidu memberi amaran bahawa jumlah itu mungkin meningkat kerana masih ramai mangsa yang hilang.

Polis melaporkan enam maut dalam satu insiden, manakala 20 lagi terbunuh dalam serangan di Konkoso dan Pissa.

Jumlah sebenar mangsa culik tidak dapat dipastikan kerana ramai penduduk melarikan diri ke kawasan belukar atau ke komuniti lain.

“Orang ramai sangat takut kerana mereka tidak tahu kampung mana yang akan diserang selepas ini,” kata Saidu.

Menurut laporan keselamatan yang dipetik AFP, kumpulan penyerang tiba dengan menaiki 41 motosikal, setiap satu membawa dua atau tiga lelaki bersenjata.

Penduduk dari kawasan berhampiran, termasuk Abdullahi Rofia dari komuniti Agwara, berkata ramai mangsa yang terselamat kini berlindung di kampungnya, yang turut diserang dua minggu lalu.

“Orang ramai trauma. Mereka tidak lagi berani keluar ke ladang atau ke pasar,” katanya.  

“Mereka ini bukan mahu merompak, mereka lebih cenderung untuk membunuh dan menakut-nakutkan penduduk.”

Kerajaan tempatan telah memperkenalkan langkah keselamatan tambahan, termasuk larangan perhimpunan lewat malam dan perintah berkurung separa yang menghalang motosikal beroperasi selepas jam 8 malam.

Polis mengesahkan pasukan keselamatan telah digerakkan untuk menjalankan operasi menyelamat dan memburu kumpulan terbabit.

Nigeria ketika ini berdepan tekanan meningkatkan keselamatan negara, dengan kumpulan pengganas aktif di wilayah barat laut manakala kumpulan pemisah pula mencetuskan kekacauan di tenggara negara itu.

Serangan oleh kumpulan pengganas dan penculikan berskala besar semakin menjadi kebiasaan, termasuk insiden penculikan lebih 250 pelajar dan kakitangan sekolah Katolik di Papiri baru-baru ini.

Walaupun pihak berkuasa mendakwa 200 suspek pengganas berjaya ditumpaskan dalam operasi ketenteraan bulan lalu, serangan terbaru ini menimbulkan kebimbangan bahawa krisis keselamatan di Nigeria masih jauh daripada reda.

 

Must Watch Video