KUCHING: Kerajaan Brunei Darussalam melalui Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasinya (MTIC) menafikan penglibatan dalam cadangan pembinaan projek Kereta Api Rentas Borneo (Trans Borneo Railway) yang dilaporkan media baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan rasmi pada Khamis yang dihantar menerusi laman Facebooknya GOVBN, ia menjelaskan bahawa Kerajaan Brunei Darussalam tidak pernah menawarkan ataupun melantik mana-mana syarikat tempatan mahupun luar negeri untuk mengendalikan projek berkenaan.

Katanya lagi, setakat ini masih belum ada sebarang perbincangan rasmi di peringkat kerajaan mengenai perkara tersebut mahupun di antara negeri-negeri dan pihak yang berkepentingan.

Kenyataan Akhbar Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) Brunei Darussalam berhubung Kereta Api Rantas Sempadan Borneo (Trans Borneo Railway)

Projek berskala besar merentasi tiga negara itu juga perlu melibatkan persetujuan serta komitmen kerajaan masing-masing terlebih dahulu.

Terdahulu, sebuah syarikat swasta dari Brunei Darussalam, Brunergy Utama dalam laman webnya memaklumkan cadangan Projek Trans Borneo Railway melibatkan laluan sepanjang 1,620km merentasi Brunei-Malaysia-Indonesia menggunakan kereta api berkelajuan tinggi atau bullet train, iaitu pertama seumpamanya di kepulauan ini.