DUNIA
Kerajaan AS mungkin ambil pegangan dalam lebih banyak syarikat - White House

Hasset (gambar) berkata sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan Intel, wang daripada Akta Cip disalurkan seperti yang dirancang dan bukannya lenyap, sebaliknya pembayar cukai AS memperoleh sedikit pegangan ekuiti. - REUTERS
WASHINGTON: Penerimaan Kerajaan Amerika Syarikat (AS) pegangan 10 peratus dalam Intel merupakan kes khas, namun kemungkinan lebih banyak transaksi seumpamanya berlaku dalam sektor ini dan sektor lain, kata Pengarah Majlis Ekonomi Nasional White House Kevin Hassett pada Isnin.
"Saya fikir ini adalah keadaan yang sangat khusus kerana jumlah besar perbelanjaan Akta Cip yang disalurkan kepada Intel.
"Tetapi Presiden telah menyatakannya sejak kempen lagi bahawa beliau berpandangan adalah baik sekiranya AS dapat membina dana kekayaan negara.
"Oleh itu, saya pasti akan ada lebih banyak transaksi pada suatu ketika, sama ada dalam industri ini atau industri lain," katanya kepada CNBC, lapor Sputnik/RIA Novosti.Beliau berkata sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan Intel, wang daripada Akta Cip disalurkan seperti yang dirancang dan bukannya lenyap, sebaliknya pembayar cukai AS memperoleh sedikit pegangan ekuiti.
Secara berasingan, Presiden AS Donald Trump pada Isnin berkata beliau tidak membayar apa-apa untuk Intel.
"Saya bayar sifar untuk Intel, nilainya kira-kira US$11 bilion. Semuanya untuk AS. Kenapa ada orang 'bodoh' tidak berpuas hati dengan itu?
"Saya akan buat perjanjian sebegini untuk negara kita sepanjang masa. Saya juga akan membantu syarikat yang membuat perjanjian lumayan dengan Amerika Syarikat," tulis Trump di Truth Social.
Pada Jumaat lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Intel Corporation bertemu Trump untuk mengumumkan pelaburan US$8.9 bilion daripada Kerajaan AS.
--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami