Skip to main content

Malaysia

Konflik Asia Barat berpanjangan berpotensi ganggu pasaran baja Malaysia - FIAM

81695648743_sawahpadi.jpg
Menurut FIAM, jadual penggunaan baja juga akan terganggu oleh penghantaran yang tertangguh dan risiko hasil akan meningkat jika baja perlu dicatu atau digantikan dengan alternatif gred rendah. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Konflik yang berterusan di Asia Barat, jika berlarutan, boleh menyebabkan gangguan struktur yang teruk dalam pasaran baja Malaysia, menurut Persatuan Industri Baja Malaysia (FIAM).

“Dalam senario terburuk, sektor perladangan dan pertanian perlu bersedia untuk menghadapi kenaikan kos yang berterusan, catuan bekalan dan kelewatan operasi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Advertisement

Menurut FIAM, rantau Asia Barat pada masa ini merupakan pembekal utama gas asli, urea, ammonia dan sulfur — bahan penting untuk pengeluaran baja pada peringkat global dan ketidakstabilan yang berpanjangan akan mengekang kapasiti pengeluaran selain mengganggu aliran eksport.

Katanya, impak paling kritikal adalah terhadap logistik maritim berikutan risiko yang meningkat di sepanjang laluan perkapalan utama termasuk Laut Merah, Selat Hormuz dan Terusan Suez, memaksa kapal yang membawa baja pukal untuk menukar laluan melalui Tanjung Harapan.

“Perubahan sedemikian akan menambah 10 hingga 14 hari kepada masa transit, meningkatkan penggunaan bahan api kapal sebanyak 40 peratus dan kadar pengangkutan dengan ketara.

“Selain itu, premium insurans kapal yang melalui zon konflik dijangka meningkat dengan ketara, dalam beberapa kes sehingga tiga kali ganda, sekali gus menjadikan kos keseluruhan lebih tinggi,” katanya.

Menurut FIAM, kesan daripada perjalanan yang lebih panjang, caj penghantaran yang lebih tinggi dan ketersediaan kapal yang berkurangan akan mewujudkan kesesakan dalam rantaian bekalan global, dengan negara pengimport di Asia dan Afrika, yang amat bergantung pada eksport dari Timur Tengah, dijangka menghadapi kelewatan dan kekurangan bekalan.

“Peniaga dan pengedar, yang menjangka gangguan berpanjangan, akan terus menyimpan stok, menambah tekanan permintaan spekulatif selain kekurangan bekalan.

“Pada masa yang sama, turun naik dalam pasaran gas asli akan meningkatkan kos pengeluaran ammonia dengan masalah dalam penghantaran,” katanya.

Katanya jadual penggunaan baja juga akan terganggu oleh penghantaran yang tertangguh dan risiko hasil akan meningkat jika baja perlu dicatu atau digantikan dengan alternatif gred rendah.

-- BERNAMA

Must Watch Video