KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia komited dalam kerjasama membangun, mengekalkan dan terus memperkukuh hubungan baik antara kedua negara.

Komitmen itu dinyatakan Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dalam pertemuan bersama rakan sejawatannya Retno Marsudi di Jakarta pada Ahad.

"Saya dan Ibu Retno turut mengulangi bahawa Indonesia dan Malaysia perlu membangun, mengekalkan dan terus memupuk hubungan baik antara kedua-dua buah negara.

"Dalam ucapan saya juga menyentuh dan menyeru institusi akademik untuk menggalakkan hubungan baik dan saling menghormati kedua-dua negara seperti yang terkandung dalam Piagam ASEAN.

"Serta menyeru sektor swasta untuk bekerjasama dan membangunkan perkongsian strategik dengan institusi akademik melalui aktiviti yang dibiayai kedua-dua pihak melalui penyelidikan kolaboratif dan selanjutnya boleh memberikan khidmat nasihat kepada kerajaan," jelasnya dalam kenyataan pada Ahad.

Terdahulu, Zambry dan Retno bersama-sama melancarkan kerjasama antara Pusat Kajian Ikatan Malaysia – Indonesia (IKMI) Institut Pengajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Program Pengajian Indonesia – Malaysia (IMSP) di Pusat untuk Pengajian Asia Timur, Universitas Prasetiya Mulya Indonesia.

Majlis pelancaran itu diadakan di Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA) di Senayan.

"Kerjasama kedua-dua universiti itu mencapai kemuncak sebagai hasil daripada lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jakarta pada Januari 2023 dan lawatan Presiden Indonesia, Joko Widodo ke Malaysia pada Jun 2023.

"Semasa lawatan ke Jakarta, Anwar menyeru Indonesia dan Malaysia untuk terus bekerjasama dalam isu serantau bagi menjamin kepentingan politik dan ekonomi kedua-dua negara," jelasnya.