DUA selebriti Hollywood, Leonardo DiCaprio dan Kim Kardashian telah disoal siasat Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri Amerika Syarikat (AS) dan Jabatan Kehakiman (DoJ) berhubung penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menurut laporan Bloomberg Businessweek, pada April 2018, DiCaprio yang sangat masyhur menerusi filem Titanic menceritakan kepada ejen mengenai hubungannya dengan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau dikenali Jho Low bermula di kelab malam.

DiCaprio berkata, dia diberitahu bahawa wang Jho Low datang daripada 'individu paling kaya' yang tidak dikenali di Abu Dhabi.

Jho Low pula disifatkan sebagai 'pakar perniagaan'.

Laporan berkenaan turut berkata, hubungan Jho Low dengan DiCaprio dan selebriti lain mendapat perhatian ketika pendakwa raya bersedia bagi perbicaraan membabitkan ahli kumpulan hip hop, Fugees, Prakazrel 'Pras' Michél.

Michél telah didakwa membawa masuk wang asing ke kempen bekas Presiden AS, Barack Obama serta melobi bagi pihak Jho Low dan kerajaan China.

Antara senarai saksi berpotensi Michél yang disenaraikan ialah DiCaprio, Obama, bekas presiden AS, Donald Trump dan pengusaha hotel, Steve Wynn.

Semakan Bloomberg Businessweek terhadap dokumen yang tidak didedahkan FBI sebelum ini menawarkan perakaunan lebih terperinci mengenai tawaran itu dan menunjukkan cara ejen persekutuan memaksa selebriti dan pengendali mereka untuk mendapatkan maklumat berkaitan Jho Low.

Misalnya, pada Februari 2019, Kardashian memberitahu FBI pertemuannya dengan Jho Low dan berpesta di Las Vegas dengan ahli perniagaan itu memberi tunangnya ketika itu, Kris Humphries, AS$100,000 (RM447,550) untuk bunga api bagi perkahwinan mereka pada 2011.

Bloomberg Businessweek turut melaporkan, wakil DiCaprio dan Kim bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
Kim turut menceritakan perihal pemindahan wang yang luar biasa.

Berdasarkan ringkasan temu bual FBI, Kim dan yang lain termasuk penerbit bersama Wolf of Wall Street, Riza Aziz dan Joey McFarland, berada di kasino di Las Vegas bersama Jho Low.