BANGKOK: Thailand melaporkan 13,655 kes baharu COVID-19, rekod tertinggi dua hari berturut-turut menjadikan jumlah terkumpul setakat ini sebanyak 453,132.

Sepanjang 24 jam lalu, Thailand mencatatkan 87 lagi kematian, sehingga kini. keseluruhan seramai 3,697 telah meninggal dunia sejak pandemik mula melanda negara ini Januari tahun lalu.

Dalam satu kenyataan, Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) berkata kes baharu itu melibatkan 13,644 jangkitan tempatan termasuk 3,845 melalui pengesanan kes aktif. Jumlah itu juga merangkumi 545 banduan.

Sebanyak 11 kes import dilaporkan termasuk tiga membabitkan mereka yang baru pulang dari Malaysia. Seramai 137,058 pesakit masih dirawat termasuk 3,856 dalam keadaan kritikal dan 889 bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, pengarah Institut Vaksin Negara (NVI) Dr Nakorn Premsri memohon maaf atas kelewatan program vaksinasi dan pihaknya sedang siap sedia untuk mengadakan rundingan bagi menyertai kemudahan COVAX.

"Saya memohon maaf kepada rakyat. NVI telah cuba sedaya upaya tetapi gagal memperoleh vaksin yang cukup untuk menangani situasi yang tidak dijangka," katanya seperti dipetik Bangkok Post.

Tambah beliau varian Delta yang sangat cepat merebak turut menjejaskan program vaksinasi.

Nakorn berkata Thailand sedang dalam proses untuk bergabung dengan COVAX dan diharapkan bakal memperoleh bekalan vaksin COVID-19 mulai suku pertama tahun depan.

Katanya, NVI berhasrat mendapatkan vaksin generasi kedua yang dikatakan lebih berkesan terhadap varian baharu.



-- BERNAMA