Agensi Kesihatan Jakarta memberi amaran kes COVID-19 akan terus meningkat dalam tempoh beberapa hari mendatang selepas varian Arcturus dikesan di negara itu.

Portal Channel NewsAsia melaporkan, Indonesia telah mencatatkan 10 kes jangkitan varian Arcturus sejak strain itu kali pertama dikesan pada 23 Mac lalu. Semua kes berkenaan adalah di Jakarta.

Varian Arcturus atau XBB.1.16 merupakan subvarian virus Omicron, menurut kajian University of Tokyo, dan merebak sehingga 1.27 kali ganda lebih pantas berbanding strain XBB.1 dan XBB.1.5.

Varian yang merebak cepat dipercayai sewaktu pergerakan besar-besaran rakyat sempena Hari Raya Aidilfitri itu, menjadi punca peningkatan jumlah kes terkini di republik itu.

Dalam minggu-minggu lalu, Indonesia merekodkan lebih daripada 1,000 kes sehari, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan COVID-19 di negara itu kepada 6.7 juta sejak pandemik bermula.

"Trend itu sedang melonjak, Kemuncaknya dijangka minggu depan," ujar ketua bahagian epidemiologi dan pemantauan imunisasi, Ngabila Salama dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, jumlah jangkitan harian COVID-19 boleh mencecah lebih 4,000 kes menjelang minggu depan.

Menurut data pemerintah, di seluruh negara terdapat sekitar 10,000 orang yang membuat ujian pengesanan COVID-19 sehari sejak minggu lalu. Dari[ada jumlah itu, 10 peratus merupakan kes positif.

Dr Ngabila menyeru penduduk bandar raya Jakarta supaya segera mengambil dos keempat vaksin COVID-19, sambil mendedahkan bahawa tidak seorang pun daripada 16 pesakit yang meninggal di Jakarta sejak tujuh hari lalu sudah mengambil vaksinasi lengkap.

“Malah, 10 daripada mereka langsung tidak pernah divaksinasi walau sekali pun," jelasnya.