Skip to main content

Dunia

Kes malaria di Afrika Selatan meningkat akibat hujan lebat dan banjir

51619345561_Malaria.jpg
Kes malaria meningkat di beberapa bahagian selatan Afrika selepas hujan luar biasa lebat dan banjir, hingga mewujudkan keadaan lebih sesuai untuk pembiakan nyamuk dan penularan malaria. - Gambar hiasan

CAPE TOWN: Afrika Selatan mencatat peningkatan membimbangkan kes malaria susulan hujan lebat dan banjir, termasuk di wilayah yang bukan kawasan endemik, kata pihak berkuasa kesihatan pada Rabu, lapor Xinhua.

Institut Kebangsaan Penyakit Berjangkit Afrika Selatan (NICD) menyatakan bahawa “kes malaria meningkat di beberapa bahagian selatan Afrika selepas hujan luar biasa lebat dan banjir baru-baru ini, mewujudkan keadaan lebih sesuai untuk pembiakan nyamuk dan penularan malaria.”

Advertisement

Agensi itu menjelaskan, peningkatan bermusim ini turut menyebabkan pertambahan kes malaria di Afrika Selatan, termasuk di wilayah yang biasanya tidak mempunyai penularan penyakit.

Peningkatan ketara dilihat di Gauteng, dengan 414 kes malaria disahkan dan 11 kematian direkodkan dalam tiga bulan pertama 2026, berbanding 230 kes dan satu kematian dalam tempoh sama pada 2025, menurut jabatan kesihatan wilayah.

Pihak berkuasa bagaimanapun memaklumkan, kebanyakan jangkitan di Gauteng adalah kes import, iaitu pesakit dijangkiti di wilayah endemik seperti Limpopo, Mpumalanga dan KwaZulu-Natal, atau semasa melancong ke luar negara.

NICD menjelaskan yang penularan malaria di Afrika Selatan kebanyakannya terhad kepada kawasan altitud rendah di wilayah endemik, yang menyokong pembiakan nyamuk pembawa penyakit.

Di Mpumalanga, lebih 300 kes dilaporkan pada Januari sahaja, manakala negara jiran yang juga kawasan endemik turut mencatat peningkatan jangkitan.

NICD menggesa pengembara mengambil langkah pencegahan termasuk pengambilan ubat pencegahan ketika melawat kawasan berisiko tinggi.

Ia turut menasihatkan individu yang mengalami simptom seperti selesema selepas melawat kawasan endemik supaya mendapatkan rawatan segera dan menjalani ujian, dengan menegaskan bahawa “diagnosis awal dan rawatan segera menyelamatkan nyawa.”

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video