PARIS: Selepas lebih 20 tahun, seorang wanita yang ditemukan mati di Perancis akhirnya dikenal pasti dan seorang suspek ditahan, kata Interpol pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Interpol, organisasi polis terbesar di dunia membantu menyelesaikan kes lama itu menerusi kempen “Identify Me”.
Advertisement
Mayat wanita berkenaan ditemukan pada awal 2005 di dalam sebuah tong air hujan di kampung Saint-Quirin, Perancis beberapa puuh kilometer dari sempadan Jerman.
Mayat itu ditemukan dalam keadaan dikerat, dimasukkan ke dalam beg sampah dan diikat dengan tali.
Selama lebih dua dekad, identiti wanita itu tidak diketahui.
Kes berkenaan kemudian dimasukkan dalam kempen “Identify Me” Interpol, yang meminta bantuan orang ramai untuk mengenal pasti lebih 40 wanita tidak dikenali yang ditemukan di seluruh Eropah.
Interpol berkata identiti wanita itu kini berjaya dikenal pasti dan buat kali pertama sejak kempen berkenaan dilancarkan, seorang suspek turut ditahan.
Polis Jerman, Belgium, Belanda, Itali, Perancis dan Sepanyol turut menyertai kempen “Identify Me”.
Menurut Interpol, kebanyakan wanita yang cuba dikenal pasti menerusi kempen itu dipercayai dibunuh atau meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan atau tidak dapat dijelaskan.
Sembilan daripada wanita itu ditemukan di Jerman.
Di laman sesawang itu, Interpol menerbitkan lakaran semula wajah serta gambar barang kemas dan pakaian yang ditemukan bersama mangsa bagi membantu proses pengecaman.
Setakat ini, pihak berkuasa berjaya mengenal pasti lima mayat, manakala bagi kes lain yang masih belum selesai, Interpol terus meminta orang ramai menyalurkan maklumat.
-- BERNAMA-dpa