Skip to main content

Dunia

Kes pertama H5N1 dikesan di Australia, burung laut dijangkiti

Test tubes are seen labelled "Bird Flu" words in this illustration taken, June 10, 2024. REUTERS/Dado Ruvic/Illustration
Pakar turut memberi amaran bahawa virus H5N1 berpotensi memberi kesan besar kepada spesies hidupan liar tempatan. - Foto fail/REUTERS
Advertisement

SYDNEY: Australia mengesahkan kes pertama selesema burung strain H5N1 di tanah besar negara itu selepas ujian makmal mendapati seekor burung laut migrasi dijangkiti virus berkenaan di kawasan terpencil barat daya negara itu.

Menteri Pertanian Australia, Julie Collins, berkata burung berkenaan ditemui di sebuah pantai kira-kira 700 kilometer tenggara ibu negeri Perth di Australia Barat, dan keputusan ujian telah mengesahkan kehadiran strain H5N1.

Burung yang dijangkiti dikenal pasti sebagai 'brown skua', sejenis burung laut migrasi yang ditemui di Taman Negara Cape Le Grand.

Pihak berkuasa sebelum ini mengumumkan keputusan ujian awal menunjukkan kemungkinan positif influenza burung, sebelum pengesahan lanjut dibuat pada Sabtu.

Burung tersebut dilaporkan ditemui dalam keadaan lemah sebelum akhirnya mati, manakala satu lagi burung spesies berbeza di kawasan sama turut sedang diuji untuk kemungkinan jangkitan.

Dengan pengesahan ini, Australia yang sebelum ini merupakan satu-satunya benua tanpa kes H5N1 di tanah besar kini turut terkesan oleh penularan global virus tersebut.

Strain H5N1 telah merebak secara meluas sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menjejaskan populasi burung liar dan haiwan lain di seluruh dunia serta memberi kesan kepada sektor penternakan.

Pihak berkuasa Australia memaklumkan negara itu telah mengambil langkah awal bagi menghadapi kemungkinan kemunculan virus tersebut, termasuk memperketat kawalan biosekuriti di ladang, menjalankan ujian terhadap burung pantai serta melaksanakan pelan tindak balas kecemasan.

Kerajaan juga menekankan bahawa pengesanan awal ini masih terhad kepada satu kes dan tiada bukti penularan meluas dalam kalangan unggas ternakan setakat ini.

Pakar turut memberi amaran bahawa virus H5N1 berpotensi memberi kesan besar kepada spesies hidupan liar tempatan, khususnya burung dan mamalia laut yang terdedah kepada jangkitan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyentuh burung yang sakit atau mati serta melaporkan sebarang penemuan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Perkembangan ini dijangka terus dipantau rapi oleh pihak berkuasa kesihatan dan pertanian bagi mengelakkan penularan lebih luas serta melindungi industri ternakan dan biodiversiti negara tersebut.
 

 

Must Watch Video

Advertisement