Skip to main content

Dunia

Kes pertama selesema burung dalam beruang kutub di Eropah ditemukan di Norway

[TB]_Polar bear Generic_ADOBE STOCK
Virus itu dilaporkan merebak ke kawasan baharu termasuk Artik, yang boleh memberi kesan terhadap populasi dan ekosistem yang terancam. - Gambar hiasan

COPENHAGEN: Norway melaporkan kes pertama influenza avian atau selesema burung pada beruang kutub di Eropah, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Virus itu dikesan pada bangkai seekor beruang jantan berusia setahun yang ditemukan mati di kepulauan Svalbard, menurut Institut Veterinar Norway pada Rabu. 

Virus itu turut ditemukan pada seekor walrus dewasa yang mati.

“Penemuan ini merupakan sebahagian daripada trend yang menunjukkan virus selesema burung semakin banyak dikesan dalam mamalia di seluruh Eropah,” kata Ragnhild Tonnessen dari Institut Veterinar, menurut kenyataan berkenaan.

Pada masa sama, virus itu dilaporkan merebak ke kawasan baharu termasuk Artik, yang boleh memberi kesan terhadap populasi dan ekosistem yang terancam.

Virus influenza avian pertama kali dikesan dalam seekor beruang kutub pada 2023 iaitu pada seekor beruang jantan muda di Alaska.

Institut Veterinar Norway berkata haiwan yang kini ditemukan di Spitsbergen dijangkiti subjenis virus H5N5.

Subjenis itu sebelum ini telah dikesan di Spitsbergen bukan sahaja pada burung tetapi juga pada walrus dan musang Artik.

Virus influenza avian telah ditemukan pada banyak spesies mamalia di Eropah.

Selain lembu dan kucing, pelbagai spesies pemangsa daripada cerpelai, lynx dan beruang hingga anjing laut turut terjejas.

Influenza avian turut dikesan pada seekor biri-biri di United Kingdom (UK).

Walaupun jangkitan virus itu kepada manusia secara teori boleh berlaku, kes sedemikian jarang berlaku.

-- BERNAMA-dpa

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement