DUBAI: Pemimpin Tertinggi Iran mengarahkan agar simpanan uranium diperkaya negara itu, yang hampir mencapai tahap digunakan untuk senjata, tidak dihantar ke luar negara, menurut dua sumber kanan Iran.
Arahan yang dikeluarkan oleh Ayatollah Mojtaba Khamenei itu dilihat sebagai pendirian tegas Tehran terhadap antara tuntutan utama Amerika Syarikat dalam rundingan damai yang sedang berlangsung.
Langkah tersebut berpotensi merumitkan usaha Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menamatkan konflik melibatkan Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran.
Pegawai Israel sebelum ini memaklumkan bahawa Trump memberi jaminan simpanan uranium diperkaya tinggi milik Iran akan dipindahkan keluar dari negara itu sebagai sebahagian daripada sebarang perjanjian damai.
Israel, Amerika Syarikat serta negara Barat lain sejak sekian lama menuduh Iran berusaha membangunkan senjata nuklear, termasuk berikutan tindakan Tehran memperkaya uranium sehingga 60 peratus - jauh melebihi keperluan penggunaan awam dan menghampiri paras 90 peratus yang diperlukan untuk senjata nuklear.
Iran bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebelum ini menegaskan, konflik tidak akan dianggap selesai selagi uranium diperkaya tidak dikeluarkan dari Iran, sokongan terhadap kumpulan proksi dihentikan dan keupayaan peluru berpandu balistik negara itu dimansuhkan.
Menurut salah seorang sumber, terdapat kesepakatan dalam kalangan kepimpinan Iran bahawa simpanan uranium tersebut perlu kekal dalam negara.
Pegawai kanan Iran percaya, penghantaran bahan tersebut ke luar negara akan mendedahkan Iran kepada risiko serangan pada masa depan oleh Amerika Syarikat dan Israel.
Pemimpin tertinggi negara itu mempunyai kata putus dalam isu-isu strategik negara.
White House dan Kementerian Luar Iran tidak mengulas perkara berkenaan.
Ketegangan berterusan, rundingan damai berdepan cabaran
Gencatan senjata rapuh kini berkuat kuasa susulan konflik yang tercetus selepas serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari lalu.
Susulan itu, Iran melancarkan serangan ke arah negara Teluk yang menempatkan pangkalan tentera Amerika Syarikat, selain pertempuran antara Israel dan kumpulan Hezbollah yang disokong Iran di Lubnan.
Namun, usaha damai masih belum menunjukkan perkembangan ketara, dengan sekatan Amerika Syarikat ke atas pelabuhan Iran serta kawalan Tehran ke atas Selat Hormuz - laluan penting bekalan minyak dunia - terus merumitkan rundingan yang dimediasi Pakistan.
Dua sumber Iran memaklumkan, terdapat kecurigaan mendalam dalam kalangan pegawai tertinggi negara itu bahawa gencatan senjata hanyalah taktik Amerika Syarikat untuk mewujudkan rasa selamat sebelum melancarkan serangan baharu.
Perunding utama Iran, Mohammad Baqer Qalibaf menyatakan, tindakan jelas dan terselindung pihak musuh menunjukkan Washington sedang membuat persiapan untuk serangan lanjut.
Trump pula menegaskan Amerika Syarikat bersedia melancarkan serangan tambahan sekiranya Iran tidak bersetuju dengan perjanjian damai, namun memberi bayangan bahawa keputusan itu mungkin ditangguhkan bagi memberi ruang kepada rundingan.
Walaupun terdapat beberapa kemajuan dalam merapatkan perbezaan, jurang besar masih wujud khususnya berkaitan program nuklear Iran termasuk nasib simpanan uranium diperkaya serta tuntutan Tehran untuk diiktiraf haknya memperkaya uranium.
Iran kekal tegas pertahan simpanan uranium
Tehran berulang kali menegaskan keutamaan negara itu adalah memastikan perang berakhir secara kekal serta memperoleh jaminan kredibel bahawa Amerika Syarikat dan Israel tidak akan melancarkan serangan baharu.
Menurut pegawai Iran, hanya selepas jaminan tersebut diberikan, rundingan terperinci mengenai program nuklear akan dipertimbangkan.
Sebelum tercetusnya konflik, Iran dilaporkan bersedia menghantar keluar separuh daripada simpanan uranium yang diperkaya sehingga 60 peratus.
Namun pendirian itu berubah susulan ancaman berulang daripada Trump untuk menyerang Iran.
Israel dipercayai memiliki senjata nuklear, namun tidak pernah mengesahkan atau menafikannya, sebaliknya mengekalkan dasar ‘kabur strategik’ sejak beberapa dekad lalu.
Sumber turut memaklumkan, terdapat beberapa formula yang boleh dipertimbangkan bagi menyelesaikan isu berkenaan, termasuk mencairkan tahap pengayaan uranium di bawah seliaan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Menurut IAEA, Iran memiliki kira-kira 440.9 kilogram uranium diperkaya sehingga 60 peratus ketika kemudahan nuklearnya diserang pada Jun 2025, namun jumlah sebenar yang masih ada ketika ini tidak dapat dipastikan.
Ketua IAEA, Rafael Grossi sebelum ini memaklumkan, sebahagian besar simpanan tersebut dipercayai disimpan di kompleks terowong di Isfahan, manakala sebahagiannya lagi berada di fasiliti nuklear Natanz.
Iran menegaskan, sebahagian uranium diperkaya tinggi diperlukan bagi tujuan perubatan dan operasi reaktor penyelidikan di Tehran. - Agensi