COPENHAGEN: Lebih 1,000 kes jangkitan tempatan virus Nil Barat dilaporkan di seluruh Eropah sejak bermulanya musim penularan tahun ini, menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC).
Sebanyak 1,086 kes direkodkan di 15 negara setakat 3 Sept, menurut agensi Kesatuan Eropah (EU) itu dalam kemas kini mingguan terbaharunya pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Jumlah kes meningkat secara mendadak dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Pada awal Ogos, hanya lebih 240 kes dilaporkan di tujuh negara Eropah.
Itali merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 516 kes, diikuti Greece dengan 284 kes dan Sepanyol sebanyak 88 kes.
Secara keseluruhan, 144 kawasan di seluruh Eropah terjejas termasuk 62 di Itali, namun ECDC memberi amaran bahawa angka itu tidak memberikan gambaran menyeluruh mengenai penularan berkenaan.
Virus Nil Barat terutamanya disebarkan oleh nyamuk dalam kalangan burung liar, namun nyamuk yang dijangkiti juga boleh menularkan virus itu kepada manusia.
Menurut Robert Koch Institute (RKI) Jerman, kira-kira 20 peratus individu yang dijangkiti mengalami demam dan gejala seperti selesema, manakala hanya kira-kira seorang daripada setiap 100 individu mengalami penyakit serius.
Demam Nil Barat biasanya sembuh tanpa komplikasi, namun kesan jangka panjang agak lazim dalam kalangan pesakit yang mengalami penyakit teruk.
-- BERNAMA-dpa