Kesatuan Afrika gesa bertenang, dialog susulan ketegangan politik di Madagascar

Orang ramai mengambil bahagian dalam demonstrasi awam di Antananarivo, Madagascar, 11 Okt 2025. REUTERS
ADDIS ABABA: Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika (AUC) Mahmoud Ali Youssouf pada Ahad menggesa semua pihak supaya bertenang dan mencari penyelesaian secara aman serta melalui muafakat berikutan ketegangan politik yang semakin memuncak di Madagascar, lapor Xinhua.
Dalam satu kenyataan, Youssouf berkata beliau mengikuti perkembangan politik dan keselamatan terkini di negara itu dengan "penuh kebimbangan" merujuk pergerakan tentera serta demonstrasi awam di ibu negara, Antananarivo.
Sambil mengalu-alukan komitmen kerajaan untuk memperbaharui dialog, Youssouf menggesa semua pihak berkepentingan di Madagascar, sama ada awam mahupun tentera, supaya bertenang, menahan diri dan mengutamakan pendekatan damai dalam menyelesaikan situasi itu.
Beliau turut menyeru semua pihak di Madagascar bertindak dengan penuh tanggungjawab dan patriotisme bagi memelihara perpaduan, kestabilan dan keamanan negara, dengan menghormati sepenuhnya perlembagaan serta rangka kerja institusi sedia ada.Pengerusi AUC itu juga menekankan keperluan untuk menegakkan hak asasi dan kebebasan semua rakyat sambil mengingatkan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Piagam Afrika mengenai Demokrasi, Pilihan Raya dan Tadbir Urus.
Youssouf turut menegaskan semula solidariti Kesatuan Afrika dengan rakyat dan kerajaan Madagascar "dalam saat sukar ini" serta menyatakan kesediaan blok itu untuk menyokong usaha nasional dan serantau bagi memulihkan keadaan normal institusi dan mengukuhkan keamanan.
Minggu lalu, Presiden Madagascar Andry Rajoelina melantik Ruphin Fortunat Dimbisoa Zafisambo sebagai perdana menteri baharu negara itu, seminggu selepas membubarkan kerajaan susulan protes besar-besaran.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami