NARATHIWAT: Tentera Diraja Thailand (RTA) menegaskan situasi di sempadan Thailand-Malaysia sentiasa dipantau serta menjadi fokus utama kerajaan demi keselamatan penduduk di kedua-dua negara.

Komander Divisyen Infantri Ke-15 RTA Mej Jen Chalermporn Khomkhew berkata pihak keselamatan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dengan apa sahaja aktiviti jenayah.

Beliau berkata setakat ini aktiviti di sempadan Thailand-Malaysia khususnya antara Narathiwat dan Kelantan dalam keadaan terkawal hasil kerjasama baik daripada pihak keselamatan Malaysia.

"Setakat ini keadaan di sempadan berjalan normal walaupun ketika musim kemarau sekarang ataupun musim banjir sebelum ini.

"Kita tahu ada beberapa aktiviti yang berlaku sehingga mendatangkan sedikit kerisauan kepada penduduk namun ia dapat diatasi dengan kerjasama tentera dan penduduk.

"Sebagai contoh sekiranya ada pemilik bot yang ditangkap terlibat dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang seperti penyeludupan, bot itu akan dimusnahkan dan penduduk memahaminya," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Kem Rejimen Ke-151 Infantri di sini, pada Sabtu.

Jelasnya di sepanjang Sungai Golok terdapat enam jeti haram dan dua di Waeng yang dikesan sering digunakan untuk kegiatan menyalahi undang-undang dan pihak tentera sentiasa melakukan pemantauan.

Chalermporn yang juga Komander "Task Force" Narathiwat berkata musim kemarau sekarang menyebabkan paras air di Sungai Golok menyusut dan senario itu dilihat memudahkan aktiviti melintas sempadan secara haram.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya sentiasa memantau keadaan dengan kerjasama daripada agensi penguat kuasa sempadan Thailand yang lain seperti pasukan paramilitari dan Kastam Diraja Thailand.

Jelasnya pemantauan di sepanjang sempadan juga lebih berkesan dengan adanya kerjasama erat dengan pasukan keselamatan dari Malaysia yang sudah terjalin sekian lama.

"Pihak kami sentiasa melakukan perbincangan dengan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan saling bertukar maklumat bagi melancarkan segala tindakan di sempadan," katanya.

-- BERNAMA