INTERNATIONAL
Ketua PBB seru India dan Pakistan hindari konflik ketenteraan

Anggota pasukan keselamatan mengawal umat Islam yang sedang menunaikan solat Jumaat di atas jalan raya di Srinagar, Kashmir, pada Jumaat (2 Mei) lalu. - Gambar Reuters
NEW DELHI: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Isnin menggesa India dan Pakistan agar tidak mencetuskan konflik ketenteraan susulan ketegangan yang terus memuncak di Asia Selatan.
Dalam rayuannya, Guterres berkata, "ketegangan antara India dan Pakistan kini berada pada tahap tertinggi dalam tempoh beberapa tahun."
Kedua-dua negara jiran itu telah menempatkan angkatan tentera masing-masing dalam keadaan berjaga-jaga selepas saling menuding jari berhubung serangan pengganas baru-baru ini di Kashmir yang ditadbir India.
Guterres berkata, beliau amat dukacita melihat hubungan kedua-dua negara kini berada di ambang bahaya.Beliau juga menyatakan, PBB bersedia menyokong sebarang inisiatif yang menjurus kepada meredakan ketegangan dan usaha diplomasi.
"Saya faham emosi yang tercetus susulan serangan pengganas yang mengerikan di Pahalgam pada 22 April.
"Saya sekali lagi mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
"Adalah amat penting terutamanya pada saat kritikal ini untuk mengelakkan konfrontasi ketenteraan yang boleh mencetuskan keadaan di luar kawalan.
"Kini masanya untuk semua pihak menunjukkan tahap kesabaran maksimum dan mengundurkan diri dari tebing bahaya," katanya kepada wartawan di luar Majlis Keselamatan PBB di Ibu Pejabat PBB di New York.
Iran kini giat berusaha dengan India dan Pakistan dalam mencari jalan untuk meredakan ketegangan.
Situasi serantau menjadi antara fokus utama dalam pertemuan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dengan pemimpin Pakistan di Islamabad pada Isnin.
Menurut Kedutaan Iran di New Delhi, Araghchi dijadualkan ke India pada Khamis.
Malaysia pada Isnin turut menawarkan bantuan bagi meredakan ketegangan di rantau itu.
"Malaysia kekal terbuka untuk memainkan peranan secara konstruktif, sekiranya diperlukan.
"Kami percaya hubungan akrab dengan Pakistan dan India meletakkan Malaysia pada kedudukan yang sesuai untuk menyokong usaha ke arah keamanan dan kestabilan serantau," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Majlis Keselamatan PBB turut mengadakan mesyuarat tertutup pada Isnin bagi membincangkan situasi antara kedua-dua negara berkenaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami