Skip to main content
Advertisement

Dunia

Ketua pengendali Menara Eiffel letak jawatan susulan kontroversi kakitangan wanita diganti lelaki

51647348005_eiffel.jpg
Pekerja di Menara Eiffel turut mendakwa kakitangan wanita diarahkan mengelakkan atau tidak melalui kawasan tertentu sepanjang lawatan delegasi itu. - Gambar hiasan/AP
Advertisement

PARIS: Ketua Pegawai Eksekutif syarikat yang mengendalikan Menara Eiffel, Patrick Branco Ruivo, akan meletakkan jawatan pada penghujung tahun ini susulan kontroversi melibatkan penggantian kakitangan wanita dengan pekerja lelaki semasa lawatan sebuah kumpulan keagamaan Hindu ke mercu tanda terkenal itu.

Syarikat pengurusan Societe d'Exploitation de la Tour Eiffel (SETE) dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan dalaman mendapati berlaku "kelemahan dan kekurangan dalam operasi" ketika menguruskan lawatan berkenaan yang membawa kepada penyingkiran kakitangan wanita daripada tugas mereka. Mereka kemudian digantikan dengan rakan sekerja lelaki.

Kontroversi itu tercetus awal bulan ini ketika delegasi kira-kira 100 orang yang dikaitkan dengan kumpulan Bochasanwasi Akshar Purushottam Swaminarayan Sanstha (BAPS) melawat Menara Eiffel.

Sebelum ini, SETE mengakui delegasi berkenaan meminta lawatan itu diatur bagi mengehadkan interaksi dengan wanita dan menyatakan syarat tersebut tidak sepatutnya diterima.

Wakil kesatuan pekerja mendakwa beberapa kakitangan wanita diminta meninggalkan tempat kerja mereka dan berasa terhina dengan tindakan tersebut.

Pekerja di Menara Eiffel turut mendakwa kakitangan wanita diarahkan mengelakkan atau tidak melalui kawasan tertentu sepanjang lawatan delegasi itu.

Insiden berkenaan mencetuskan kemarahan kakitangan sehingga menyebabkan operasi Menara Eiffel tergendala akibat mogok, selain menerima kecaman daripada ahli politik Perancis.

Presiden Dewan Kebangsaan Perancis, Yael Braun-Pivet, berkata beliau menolak sebarang keadaan yang memaksa wanita mengetepikan hak mereka semata-mata untuk memenuhi kehendak pelawat asing.

Datuk Bandar Paris daripada Parti Sosialis, Emmanuel Gregoire, pula menyifatkan keputusan itu sebagai "tidak masuk akal, tidak adil dan tidak boleh diterima", selain mengarahkan dua siasatan dijalankan.

Pengerusi SETE, Ariel Weil, berkata syarikat itu akan melaksanakan langkah serta program latihan bagi memperkukuh kesaksamaan gender dalam organisasi menjelang proses peralihan kepimpinan yang akan datang.

Sementara itu, BAPS sebelum ini memohon maaf atas sebarang kesulitan atau kesedihan yang timbul akibat insiden berkenaan dan menegaskan pertubuhan itu berpegang kepada nilai sejagat seperti saling menghormati dan berkhidmat kepada masyarakat.

BAPS, yang mempunyai kuil di beberapa bandar utama dunia termasuk London, Los Angeles dan Sydney, mengamalkan pemisahan antara lelaki dan wanita dalam beberapa aktiviti keagamaan serta kemasukan ke tempat ibadat.

Bagaimanapun, amalan itu terus menjadi perdebatan, dengan pengkritik berpendapat kepercayaan yang berakar sejak abad ke-18 tidak lagi sesuai diamalkan dalam masyarakat moden dan boleh dianggap sebagai diskriminasi terhadap wanita.

 

 

Must Watch Video

Advertisement