Skip to main content

Dunia

KHOM Malaysia sediakan ‘kotak harapan’ Ramadan untuk pelarian Palestin di Beirut

KHOM MALAYSIA
Nik Marina mengagihkan kotak sumbangan pek makanan kepada seorang warga Palestin di kem pelarian Bourj el-Barajneh di Beirut, semalam. - Foto Astro AWANI

BEIRUT: Karisma Humanitarian Outreach Mission (KHOM) Malaysia berjaya menyalurkan 80 pek bantuan makanan kepada warga Palestin yang tinggal di kem pelarian Bourj el-Barajneh di sini semalam.

Pengerusi Misi KHOM Malaysia, Nik Marina Datuk Hussin berpendapat pek bantuan bernilai AS$40 sekotak itu dijangka dapat bertahan sepanjang bulan Ramadan untuk meringankan beban warga pelarian yang hidup dalam keadaan serba kekurangan.

Advertisement

“Kotak ini bukan sekadar untuk mengenyangkan perut mereka namun sebagai harapan untuk esok, lusa dan sepanjang Ramadan jadi ia amat berharga bagi para pelarian,” katanya kepada Astro AWANI di pusat komuniti warga Palestin.

Kotak tersebut mengandungi keperluan asas seperti beras, minyak masak, pasta, tepung gandum, teh dan garam, selain sumber protein termasuk kacang lentil, kacang kuda, kacang fava, daging serta sardin dalam tin, manakala bahan tambahan seperti pes tomato, gula, herba thyme dan bijirin turut disertakan bagi melengkapkan keperluan harian keluarga penerima.

Namun sempena bulan suci Ramadan, kotak tersebut turut diisi dengan kurma, tepung gandum putih berkualiti tinggi serta halwa.

Image
KHOM MALAYSIA 3
Kotak pek makanan untuk tempoh sepanjang bulan Ramadan hasil sumbangan daripada rakyat Malaysia. - Foto Astro AWANI.

“Mana-mana kem pelarian yang kami lawat, jika ditanya soal makanan yang diidamkan pasti mereka (warga pelarian) jawab Halwa, kerana ia mengingatkan mereka terhadap kampung halaman,” katanya.

Difahamkan kotak bantuan tersebut akan disalurkan lagi untuk beberapa hari akan datang kepada warga pelarian yang lain.

Turut hadir, Ketua Usaha Sementara, Kedutaan Malaysia di Lubnan, Johan Arief Mohamad Jaafar untuk membantu proses pengagihan barang bantuan kepada warga pelarian Palestin.

Image
KHOM MALAYSIA 2
Johan Arief membantu mengagihkan kotak pek makanan kepada warga pelarian. - Foto Astro AWANI

Untuk rekod, kem Bourj el-Barajneh merupakan antara 12 kem pelarian di Lubnan sejak peristiwa Nakba 1948 apabila warga Palestin dihalau secara paksa dari tanah air mereka.

Kebanyakan para pelarian telah menetap di negara-negara berhampiran seperti di Lubnan, Syria, Jordan dan lain-lain dengan dokongan daripada Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

Namun di Lubnan, warga pelarian hidup serba kekurangan di dalam kawasan yang semakin sempit melitupi matahari kerana jumlah pelarian yangsemakin bertambah sekitar 30,000 hingga 40,000 warga selama hampir tujuh dekad.

Mereka juga tidak dibenarkan untuk bekerja di 72 bidang profesional dan hanya dibenarkan melibatkan diri di sektor sokongan seperti pemandu, kelindan, tukang cuci dan lain-lain.

Image
KHOM MALAYSIA 1 [Astro AWANI  Seth Akmal]
Warga Palestin membuka kedai runcit untuk menyara hidup mereka dan membantu ekonomi komuniti pelarian. - Foto Astro AWANI.

“Apabila mereka tidak mempunyai tempat untuk dituju dan tiada siapa untuk bergantung harap, siapakah lagi yang akan membantu jika bukan kita? 

“Apa yang perlu kita lakukan ialah memastikan mereka mampu terus bertahan, hari demi hari, bulan demi bulan, sehingga suatu hari nanti, insya-Allah, mereka dibebaskan dan dapat kembali ke tanah air sendiri. Itulah doa dan harapan kami buat Palestin,” kata Marina lagi.


 

Must Watch Video