Kim Jong Un pecat pegawai kanan, kecam ‘ketidakcekapan’ pengurus ekonomi

Kim Jong Un memecat seorang pegawai kanan yang bertanggungjawab terhadap dasar ekonomi dan mengecam keras kegagalan serta “ketidakcekapan” golongan birokrat. - Gambar Reuters
SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, memecat seorang pegawai kanan yang bertanggungjawab terhadap dasar ekonomi dan mengecam keras kegagalan serta “ketidakcekapan” golongan birokrat, lapor media rasmi negara itu pada Selasa (20 Jan).
Menurut agensi berita Korean Central News Agency (KCNA), Kim membuat keputusan itu ketika melawat pembukaan sebuah kompleks perindustrian mesin, di mana beliau menegur pegawai yang didakwa menyebabkan kelewatan projek berkenaan.
Kim menegaskan bahawa projek pemodenan fasa pertama Kompleks Mesin Ryongsong berdepan pelbagai kesukaran akibat “panduan ekonomi yang tidak bertanggungjawab, biadab dan tidak kompeten.”
Beliau turut mengecam sikap segelintir pegawai yang disifatkannya “terlalu lama terbelenggu dengan budaya kalah, tidak bertanggungjawab dan pasif.”
Pecat pegawai ‘serta-merta’
Dalam lawatan itu, Kim memecat Timbalan Perdana Menteri Kabinet, Yang Sung Ho, serta-merta.
Menurut KCNA, Kim menyifatkan Yang sebagai “tidak layak dipertanggungjawabkan dengan tugas berat.”
“Secara ringkas, ia seperti memasang kereta kepada seekor kambing – satu kesilapan tidak disengajakan dalam proses pelantikan kader kami,” jelas pemimpin Korea Utara itu.
“Yang sebetulnya, lembulah yang menarik kereta, bukan kambing.”
Dalam masa sama, Kim turut memberi amaran bahawa barisan pembuat dasar ekonomi ketika ini “tidak mampu menyelia kerja penyusunan semula industri negara secara menyeluruh, apatah lagi meningkatkan tahap teknologinya.”
Pyongyang kini sedang membuat persiapan menjelang Kongres Parti Pekerja Korea, yang pertama dalam tempoh lima tahun.
Pemerhati menjangkakan kongres itu akan berlangsung dalam beberapa minggu akan datang.
Bulan lalu, Kim berikrar untuk membanteras unsur “jahat” dan menegur pegawai yang disifatkannya malas dalam satu mesyuarat utama kepimpinan negara.
Media rasmi tidak memperincikan isu yang dibangkitkan, namun melaporkan bahawa parti pemerintah telah mengenal pasti beberapa “penyimpangan” dalam disiplin - istilah yang lazim merujuk kepada perlakuan rasuah atau salah laku pentadbiran. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


