ISTANBUL: Kapal pengangkut pesawat terbesar Amerika Syarikat (AS), USS Gerald R. Ford, tiba di Laut Merah selepas melalui Terusan Suez, lapor Institut Tentera Laut AS (USNI) pada Jumaat.
Menurut Anadolu Ajansi, USS Gerald R. Ford melintasi terusan itu berserta pemusnah peluru berpandu berpandu USS Bainbridge (DDG-96) sebagai sebahagian penempatannya di rantau berkenaan ketika ketegangan memuncak di Asia Barat.
Advertisement
Pentagon sebelum ini mengumumkan bahawa kapal pengangkut membawa kumpulan penyerang itu diarah ditempatkan di Asia Barat pada pertengahan Februari dan misi itu dijangka berterusan hingga Mei.
Dengan kehadiran USS Gerald R. Ford di Laut Merah, AS kini mempunyai dua kapal pengangkut pesawat yang beroperasi di perairan berhampiran.
USS Gerald R. Ford kini beroperasi di Laut Merah manakala kumpulan penyerang kapal induk USS Abraham Lincoln (CVN-72) dikerahkan di Laut Arab.
Ketegangan di Timur Tengah kian meruncing sejak AS dan Israel melancarkan serangan besar-besaran pada Sabtu terhadap Iran, membunuh lebih 1,000 orang, termasuk Pemimpin Tertinggi Ali Khamenei, lebih 150 pelajar sekolah dan pegawai kanan tentera.
Iran bertindak balas dengan serangan bertubi-tubi yang menyasarkan pangkalan AS, kemudahan diplomatik dan anggota tentera di seluruh rantau itu, serta beberapa bandar Israel dan serangan terus meningkat.
-- BERNAMA-ANADOLU