PORT DICKSON: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ronald Kiandee mengesahkan telah menerima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin parti itu bagi menjawab beberapa tuduhan.
Beliau tanpa mendedahkan perincian surat berkenaan memaklumkan yang dokumen terbabit diterimanya pada 28 Februari lalu.
Advertisement
“Hari ini (Jumaat) mungkin hari terakhir saya bercakap sebagai Naib Presiden kerana enam hari lalu saya sudah menerima surat tunjuk sebab daripada Lembaga Disiplin parti yang meminta saya jawab, tempohnya berakhir esok.
“Sama ada saya jawab atau tidak, saya pasti tindakan akan tetap diambil dan saya percaya ia bertujuan menyingkirkan kami daripada menyokong Datuk Seri Hamzah Zainudin,” katanya ketika berucap pada Majlis Moreh Perdana dan Pelancaran Gempur Rasuah Negeri Sembilan di sini pada Jumaat.
Ketua Whip Bersatu itu berkata, surat terbabit antara lain disebabkan tindakannya menghantar surat kepada Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan bagi memaklumkan sokongan 13 Ahli Parlimen Bersatu terhadap Hamzah sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.
Selain itu, Ketua Srikandi Bersatu, Mas Ermieyati Samsudin turut memaklumkan menerima surat sama, namun tidak berhasrat menjawabnya.
“Esok (hari ini) tarikh akhir untuk saya menjawab surat itu. Namun setakat ini saya tidak berhajat untuk menjawabnya. Kita tengoklah macam mana nanti,” katanya.
Sebelum ini Lembaga Disiplin parti memecat Hamzah kerana tindakannya yang didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti.
Selepas Hamzah, 16 lagi pemimpin parti itu menerima nasib sama iaitu Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan dan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.
Dua ADUN yang dipecat pula ialah ADUN Sungai Manik yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub.
Sementara itu, sembilan Ketua Bahagian Bersatu turut dipecat setakat ini iaitu Ketua Bahagian Bersatu Larut, Mohd Hassuandi Hamzah; Yunus Nurdin (Libaran); Datuk Abdul Aziz Ismail (Dungun); Ahmad Nasir Mid (Selayang); Ahmad Ishak (Gopeng); Kamaruddin Majid (Teluk Intan); Datuk Zulkifli Bujang (Johor Bahru); Ahmad Meon (Tangga Batu) serta Ketua Bahagian Bersatu Tapah, Mohd Yunus Mohd Yusop.
Turut dipecat ialah Ketua Srikandi Muda Bersatu Sabah, Nabila Norshahar dan Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim. - Sinar Harian