Skip to main content

Dunia

Kim Jong Un tunjuk kekuatan ketenteraan menjelang kemungkinan pertemuan dengan Trump

Peluru berpandu balistik taktikal dilancarkan semasa ujian di Korea Utara pada 12 Oktober 2026, menurut KCNA dalam imej yang dikeluarkan media rasmi negara itu. Media kerajaan Korea Utara memaklumkan, ujian berkenaan mengesahkan kejayaan naik taraf teknikal terhadap satu komponen teras penting peluru berpandu tersebut. - Gambar Reuters
Peluru berpandu balistik taktikal dilancarkan semasa ujian di Korea Utara pada 12 Oktober 2026, menurut KCNA dalam imej yang dikeluarkan media rasmi negara itu. Media kerajaan Korea Utara memaklumkan, ujian berkenaan mengesahkan kejayaan naik taraf teknikal terhadap satu komponen teras penting peluru berpandu tersebut. - Gambar Reuters

Advertisement

SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un melawat sebuah muzium industri pertahanan yang mempamerkan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang dipercayai mampu mencapai wilayah Amerika Syarikat (AS), menurut laporan media negara itu, KCNA, pada Selasa.

Laporan tersebut muncul sehari selepas Presiden AS, Donald Trump, menyatakan beliau mungkin mengadakan pertemuan dengan Kim ketika lawatan yang dirancang ke Asia.

Trump dijangka menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di China pada pertengahan November, yang berpotensi menjadi lokasi pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu.

Menurut KCNA, Kim yang ditemani anak perempuannya, Ju Ae, serta isterinya, Ri Sol Ju, menghadiri majlis pembukaan Muzium Revolusi Pertahanan yang baharu dibuka pada Ahad.

Gambar yang disiarkan KCNA menunjukkan muzium itu mempamerkan pelbagai aset ketenteraan yang dibangunkan di bawah kepimpinan Kim, termasuk dron dan peluru berpandu balistik antara benua Hwasong-20.

Paparan di hadapan pelancar Hwasong-20 turut dipercayai menunjukkan reka bentuk peluru berpandu dengan pelbagai kepala peledak serta peta dunia yang menggambarkan jarak capaian melangkaui tanah besar AS hingga ke Asia Barat, Australia dan Amerika Selatan.

Setiausaha Agung Korea Defence and Security Forum, Shin Jong-woo berkata, pameran itu dilihat bertujuan menonjolkan kejayaan program pembangunan sains pertahanan Korea Utara.

“Pameran ini memberi gambaran sebagai usaha propaganda untuk meraih kelebihan strategik menjelang kemungkinan sidang kemuncak antara Korea Utara dan AS,” katanya.

Penganalisis turut berpandangan muzium berkenaan mencerminkan usaha lebih luas Kim untuk mengangkat pameran senjata negara itu sebagai simbol kekal pencapaian ketenteraan rejim.

Profesor Institut Pengajian Timur Jauh Universiti Kyungnam, Lim Eul-chul, berkata, langkah menjadikan pameran senjata sementara sebagai muzium tetap menunjukkan usaha menginstitusikan pencapaian ketenteraan negara itu.

“Kim sedang menggambarkan pembangunan senjata nuklear dan peluru berpandu Korea Utara sebagai legasi yang telah lengkap dan berkekalan,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Korea Utara memaklumkan pihaknya telah menguji pelancaran peluru berpandu balistik taktikal pada Isnin bagi mengesahkan kejayaan naik taraf teknikal terhadap satu komponen utama yang tidak didedahkan.

KCNA melaporkan peningkatan teknologi itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh prestasi keseluruhan sistem persenjataan ofensif negara berkenaan, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Sementara itu, tentera Korea Selatan berkata, Korea Utara telah melancarkan beberapa peluru berpandu balistik ke arah perairan di pantai timurnya pada Isnin.

Pelancaran itu merupakan yang keempat dilakukan Pyongyang dalam tempoh sebulan, selepas Seoul baru-baru ini menjalankan ujian peluru berpandu hipersonik. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement