LONDON: Kira-kira 60 migran yang menolak bantuan pengawal pantai Perancis dan berada di laut selama lebih 30 jam tiba di Dover, pantai tenggara England, lapor PA Media/dpa.
Bot penyelamat Britain dihantar untuk mengambil migran yang berada di dalam sebuah dingi atau bot kecil pada Selasa dan Agensi Maritim dan Pengawal Pantai United Kingdom (UK) memaklumkan mereka akan diserahkan kepada Markas Pemerintahan Keselamatan Sempadan.
Pengawal pantai Perancis memaklumkan migran berkenaan berdepan keadaan berbahaya di laut dan menolak bantuan kerana mereka "bertekad mengambil apa jua risiko untuk sampai ke UK".
Bot kecil itu, yang diekori sebuah kapal pengawal pantai Perancis, bertolak dari pantai Normandy pada pagi Isnin.
Migran berkenaan dijangka dibawa ke Gosport pada Selasa, dengan Ahli Parlimen tempatan Caroline Dinenage berkata Kementerian Dalam Negeri Britain memaklumkan kepadanya bahawa besar kemungkinan penumpang sebuah bot kecil perlu diturunkan di kawasan berkenaan dalam tempoh beberapa jam akan datang.
Bot yang membawa migran itu kemudian bergerak ke arah timur menyusuri pantai sebelum tiba di Dover pada awal pagi Rabu.
Migran berkenaan kemudian dilihat turun dari bot dengan memakai jaket keselamatan berwarna jingga dan membawa barangan peribadi.
Kira-kira 12 penunjuk perasaan dilihat berada di kawasan itu, manakala polis tempatan menutup jalan berhampiran.
Pasukan Polis Hampshire & Isle of Wight memaklumkan enam individu ditahan di Gosport pada Selasa malam selepas penunjuk perasaan antimigran "bertindak agresif terhadap anggota polis".
Ratusan penunjuk perasaan antimigran berhimpun berhampiran marina di Gosport, Hampshire, pada Selasa malam susulan laporan awal bahawa migran berkenaan sedang dalam perjalanan ke kawasan itu.
Pada kira-kira 8.30 malam Selasa (1930 GMT), kumpulan penunjuk perasaan berpakaian hitam itu meninggalkan lokasi protes di Gosport secara serentak.
Dalam satu kenyataan, Pasukan Polis Hampshire & Isle of Wight memaklumkan: "Susulan berita bahawa bot itu akan berlabuh di lokasi lain di negara ini, polis berdepan dengan sekumpulan individu yang kekal berada di Gosport, dengan sebahagian daripada mereka bertindak agresif terhadap anggota polis.
"Susulan itu, enam individu ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk memandu secara cuai dan menyerang petugas kecemasan,” menurut polis berkenaan.
Dingi yang membawa migran itu dipercayai bertolak dari kawasan berhampiran perkampungan Vierville-sur-Mer, di barat Bayeux.
Kira-kira 17,480 migran tiba selepas menyeberangi Selat Inggeris dengan bot setakat tahun ini, termasuk 5,011 orang sejak Andy Burnham menjadi perdana menteri.
Jumlah keseluruhan setakat ini bagi 2026 menurun 46 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa