Kisah Elon Musk: Orang kaya di dunia yang 'homeless'

Elon Musk barangkali manusia paling kaya di dunia dan mampu memiliki segala-galanya di muka bumi ini, namun, di sebalik kekayaan luar biasa itu, Musk memilih gaya hidup yang jauh dari mewah - bahkan pernah berada di bawah 'garis kemiskinan.'
ELON MUSK - Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX terus berada di senarai antara individu terkaya di dunia — malah mencatat sejarah sebagai manusia pertama bergelar ‘separuh trilionaire.’
Namun, di sebalik kekayaan luar biasa itu, Musk memilih gaya hidup yang jauh dari mewah.
Pada 2021, Musk mendedahkan beliau tinggal di sebuah rumah kecil di Texas bernilai sekitar AS$50,000 (RM208,000).
Bekas pasangannya, penyanyi Grimes turut mengesahkan perkara itu dalam satu temu bual bersama Vanity Fair pada 2022 dengan mendedahkan, ada ketikanya Musk hidup “di bawah garis kemiskinan.”
Antara kisah yang dikongsi termasuk keengganan Musk membeli tilam baharu walaupun tilam lama sudah berlubang.
Walaupun kediamannya sederhana, Musk dikenali kerana minatnya terhadap kenderaan luar biasa -termasuk sebuah kereta yang boleh bertukar menjadi kapal selam seperti dalam filem James Bond.
Beliau juga memiliki beberapa jet peribadi bernilai jutaan dolar, yang digunakan untuk urusan kerja antara lokasi Tesla dan SpaceX.
Pernah miliki empayar hartanah, kini tidak lagi
Sebelum ini, Musk memiliki tujuh buah rumah mewah di kawasan elit Bel-Air, California, bernilai lebih AS$100 juta.
Kesemua hartanah tersebut lengkap dengan kolam renang, gelanggang tenis, bilik wain, perpustakaan peribadi dan dewan tari menari.
Namun pada 2020, Musk mengubah pendiriannya dengan mengumumkan akan menjual hampir semua harta fizikalnya, termasuk rumah yang pernah dimiliki oleh pelakon Gene Wilder.
“Saya tidak perlukan wang tunai. Saya mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada Marikh dan Bumi. Harta benda hanya membebankan,” katanya dalam ciapan di Twitter - akaun media sosial yang kemudian dibelinya pada 2022 pada harga AS$44 bilion.
Rumah itu kemudian dijual kepada anak saudara Wilder, tetapi Musk mengambil semula pemilikan pada Jun 2025 selepas pembeli gagal melunaskan pinjaman.
Kini, Musk tinggal di rumah pasang siap yang kecil di Starbase, Texas - lokasi operasi SpaceX.
Malah, beliau pernah berkata, tidak memiliki rumah langsung dan hanya menumpang di rumah rakan-rakan ketika berkunjung ke Bay Area.
Antara koleksi kereta Musk termasuk Ford Model T, Jaguar E-Type 1967, McLaren F1 1997, dan Tesla Roadster - yang pernah dihantar ke angkasa pada 2018.
Paling unik ialah Lotus Esprit 1976 dari filem The Spy Who Loved Me, yang dibeli pada 2013 dengan hasrat menjadikannya kereta kapal selam sebenar.
Musk telah menyumbang berbilion dolar dalam bentuk saham kepada pelbagai badan amal.
Namun, pendekatan derma beliau sering dikritik sebagai tidak konsisten dan lebih menguntungkan dirinya dari segi cukai.
Yayasan Musk Foundation menyatakan misinya adalah untuk memajukan kemanusiaan melalui penyelidikan saintifik dan inovasi teknologi.
Namun, laporan media mendakwa banyak sumbangan yayasan itu disalurkan kepada organisasi yang mempunyai kaitan dengan Musk sendiri.
Musk pula berpendapat, syarikat-syarikat miliknya adalah bentuk derma sebenar - Tesla mempercepatkan penggunaan tenaga lestari, SpaceX menjamin kelangsungan hidup manusia dan Neuralink berusaha menyelesaikan masalah kecederaan otak serta risiko kecerdasan buatan. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


