Hari pertama lawatan rasmi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking ke Indonesia, berjaya membawa hubungan perdagangan dua hala Malaysia–Indonesia, ke tahap lebih tinggi.

Ini merupakan hasil pertemuan Darell, bersama Menteri Perdagangan Indonesia, Enggartiasto Lukita di sini hari ini.

Fokus pertemuan tertumpu kepada perbincangan bagi meningkatkan akses perdagangan di kedua-dua negara.

Juga, menggerakkan usaha bagi meneroka bidang-bidang baharu yang mampu memacu pembangunan Kuala Lumpur–Jakarta secara komprehensif, terutamanya dalam sektor e-perniagaan.

Ia selari perubahan pesat landskap perdagangan global dan serantau, selain ledakan revolusi perindustrian keempat.

Darell dan Enggartiasto turut berkongsi pendapat bagi meningkatkan promosi produk kelapa sawit serta mencari solusi bagi menangkis serangan Eropah terhadap produk kelapa sawit.

"Kedua-dua negara akan, antara lainnya, meningkatkan peranan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit bagi mempromosikan produk sawit," kata Darell Leiking dalam sidang media bersama di Jakarta.

Malaysia dan Indonesia menghasilkan 80 peratus daripada minyak sawit global dan kedua-dua negara merupakan dua pengeluar terbesar dunia.

Secara keseluruhannya, sejak tahun 2008 hingga 2016, Malaysia telah memperuntukkan nilai pelaburan sebanyak AS$15 bilion, di Indonesia.

Tahun lepas sahaja, jumlah dagangan Malaysia–Indonesia, mencatat nilai sebanyak RM72.63 bilion ringgit.

Sekaligus, menjadikan Indonesia rakan dagang ketujuh terbesar kepada Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar di ASEAN.