Skip to main content

Dunia

[KOLUMNIS] Kuasa tanpa senjata: Bagaimana China membina pengaruh di ASEAN?

Teknologi boleh menghubungkan negara, media boleh mendekatkan masyarakat, tetapi akhirnya manusialah yang memberikan makna kepada sesebuah hubungan.
Teknologi boleh menghubungkan negara, media boleh mendekatkan masyarakat, tetapi akhirnya manusialah yang memberikan makna kepada sesebuah hubungan.
Advertisement

NANNING: Kadangkala kita memahami hubungan antara negara bukan melalui sidang kemuncak, perjanjian atau angka perdagangan, tetapi melalui perkara kecil yang berlaku antara manusia.

Sepanjang berada di Nanning, Guangxi, China, bagi menyertai Minggu Kerjasama Rakan Media ASEAN 2026, saya berpeluang menyaksikan bagaimana China membangunkan hubungan dengan negara-negara ASEAN melalui media, teknologi dan pertukaran budaya.

Ada sesuatu yang menarik daripada perjalanan itu. Di satu sisi, saya memerhatikan pembangunan infrastruktur berskala besar, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan industri yang sedang berkembang pesat. Di sisi lain, saya menemukan pengalaman persahabatan yang jauh lebih sederhana, tetapi meninggalkan kesan tersendiri.

Advertisement

Kedua-duanya, dalam cara yang berbeza, memberikan gambaran tentang bagaimana pengaruh sesebuah negara boleh dibina.

Penulis bersama rakan media ASEAN di Bangunan CMG Guangxi Station

Advertisement

 

Pengaruh tidak semestinya datang daripada kekuatan senjata

Di Guangxi, antara projek yang dikunjungi ialah Terusan Pinglu sepanjang 134.2 kilometer yang menghubungkan kawasan pedalaman China dengan Teluk Beibu.

Projek itu bukan sekadar memperlihatkan keupayaan China membangunkan infrastruktur pengangkutan, malah membuka laluan baharu yang berpotensi mengubah pergerakan barangan dan hubungan perdagangan dengan pasaran serantau.

Lawatan ke pelabuhan, pusat kerjasama AI dan kemudahan industri turut memperlihatkan bagaimana teknologi menjadi sebahagian daripada perancangan pembangunan ekonomi China.

Namun, satu lagi perkara yang menarik perhatian saya ialah bagaimana pembangunan teknologi itu bergerak seiring dengan usaha memperluas jaringan hubungan antarabangsa.

Dalam konteks inilah peranan China Media Group (CMG) wajar diperhatikan.

Menerusi Minggu Kerjasama Rakan Media ASEAN 2026, CMG menghimpunkan pengamal media, pegawai, diplomat dan pakar dari China serta negara-negara ASEAN untuk membincangkan masa depan kerjasama media.

Program itu bukan sekadar ruang bertukar pandangan tentang kewartawanan. Ia turut memperlihatkan bagaimana China meletakkan media, teknologi dan penghasilan kandungan sebagai sebahagian daripada pendekatan diplomasi awamnya.

Dalam dunia yang semakin saling terhubung, pengaruh tidak lagi terbatas kepada kekuatan ketenteraan atau dominasi ekonomi. Keupayaan sesebuah negara memperkenalkan budaya, membina persefahaman dan membentuk persepsi masyarakat antarabangsa juga mempunyai nilai strategik.

Inilah yang sering dikaitkan dengan konsep soft power.

Image
Kolumnis Khalis Kadir, CMG

Penulis bersama jurukamera Sallehin Hussan, wartawan CGTN Malay, Fauzi Zin serta Latifah Huang dan wartawan Timor-Leste, Joanico

Apabila media menjadi jambatan hubungan

CMG mempunyai jaringan penyiaran antarabangsa, perkhidmatan pelbagai bahasa dan platform digital yang membolehkannya menyampaikan kandungan kepada khalayak di luar China.

Melalui kerjasama dengan media ASEAN, ruang turut dibuka untuk penerbitan bersama, pertukaran kepakaran, pembangunan teknologi dan perkongsian kandungan.

AI juga menjadi antara tumpuan perbincangan sepanjang program, khususnya bagaimana teknologi itu mengubah cara berita dikumpulkan, diproses, diterjemahkan dan disampaikan.

Bagi organisasi media, perkembangan ini bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan. Namun, persoalannya bukan sekadar siapa mempunyai teknologi paling canggih.

Dalam kewartawanan, teknologi boleh membantu mempercepatkan kerja, tetapi ia tidak boleh mengambil alih tanggungjawab manusia untuk menyemak fakta, memahami konteks dan memastikan sesuatu laporan tidak mengelirukan masyarakat.

Lebih penting, kerjasama media tidak seharusnya bergerak dalam satu arah sahaja.

China mempunyai keupayaan teknologi dan infrastruktur, manakala ASEAN mempunyai kepelbagaian bahasa, budaya, pengalaman serta perspektif masyarakat yang tersendiri.

Kedua-duanya mempunyai sesuatu untuk dikongsi. Namun, media ASEAN juga perlu memastikan suara dan ceritanya sendiri mendapat tempat dalam jaringan kerjasama itu.

Image
Kolumnis Khalis Kadir, CMG

Penulis bersama 'sahabat-sahabat' melawat Pelabuhan Nanning, hab pengangkutan sungai yang menghubungkan kawasan pedalam Guangxi dengan laluan perdagangan antarabangsa melalui Teluk Beibu

 

Malaysia tidak boleh sekadar menjadi penonton

Bagi Malaysia, perkembangan ini membuka ruang untuk menilai semula kedudukan media tempatan dalam landskap komunikasi antarabangsa yang semakin kompetitif.

Kita tidak boleh hanya menjadi pengguna teknologi atau penerima kandungan yang dihasilkan oleh organisasi media luar negara.

Sebaliknya, media Malaysia perlu terus membina keupayaan sendiri, memperkukuh kemahiran tenaga kerja dan menghasilkan kandungan yang mampu membawa perspektif tempatan ke peringkat antarabangsa.

Kerjasama dengan China dan negara ASEAN lain boleh dimanfaatkan untuk perkongsian kepakaran serta pembangunan bakat. Namun, kepentingan untuk mengekalkan identiti, integriti editorial dan kebebasan membuat penilaian tidak boleh diketepikan.

Pada akhirnya, keupayaan sesebuah negara menyampaikan ceritanya sendiri juga merupakan sebahagian daripada kekuatan pengaruhnya.

Image
Kolumnis Khalis Kadir, CMG

Penulis ditemu bual oleh China Central Television (CCTV) selepas melawat Pameran Rancangan Bandar Nanning, berkongsi perspektif Malaysia mengenai pembangunan infrastruktur, kemajuan teknologi serta potensi kerjasama China-ASEAN.

 

Persahabatan yang tidak tercatat dalam memorandum

Namun, jika ditanya apakah perkara paling saya ingat sepanjang program itu, jawapannya mungkin bukan terusan, robot atau teknologi AI yang diperlihatkan kepada kami.

Sebaliknya, satu pek biskut dan sebiji muffin.

Pada suatu pagi ketika mengikuti lawatan, saya hanya sempat alas perut untuk sarapan. Selepas selesai melawat satu lokasi, saya duduk sebentar sambil menjamah roti.

Pak Syukun, Ketua Jabatan Bahasa Indonesia di CMG, menyedari keadaan itu lalu bertanya sama ada saya sudah bersarapan. Apabila saya memberitahu bahawa saya hanya makan sedikit, beliau berjalan kembali ke bas untuk mengambil satu pek biskut dan memberikannya kepada saya.

Perkara itu mungkin kecil baginya... Tetapi pada hari tersebut, ketika saya turut menerima berita yang agak mendukacita dari tanah air, keprihatinan itu benar-benar menyentuh hati.

Tidak lama kemudian, seorang rakan dari Timor-Leste turut menghulurkan muffin sambil berkata, “Have some, my friend, if you’re still hungry.”

Saya sempat bergurau, mungkin semua orang menganggap saya wartawan yang sentiasa kelaparan.

Lebih mencuit hati apabila beliau mengaitkan pemberian muffin itu dengan peranan Malaysia dalam proses penyertaan Timor-Leste ke ASEAN, sebelum berseloroh menyebut nama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Muffin saja ini, apalah sangat dengan jasa negara kamu yang memudahkan kami menjadi sebahagian keluarga ASEAN".

Sudah tentu, penyertaan sesebuah negara ke ASEAN merupakan keputusan bersama semua negara anggota. Namun, gurauan itu cukup menggambarkan keakraban yang terbina sepanjang pertemuan kami.

Seorang wartawan Malaysia, seorang editor dari China yang 'bisa' berbahasa Indonesia (Pak Syukun) dan seorang rakan dari Timor-Leste, bertemu di China. Tiada memorandum persefahaman, tiada rundingan perdagangan dan tiada pengumuman pelaburan bernilai berbilion yuan.

Hanya sebungkus biskut, sebiji muffin dan keprihatinan yang mungkin tidak akan tercatat dalam mana-mana laporan rasmi.

Tetapi bagi saya, itulah antara pengalaman paling bermakna sepanjang program tersebut.

Image
Kolumnis Khalis Kadir, CMG

Penulis menyampaikan ucapan mewakili Malaysia dalam Meja Bulat Rakan Media ASEAN 2026, mengetengahkan kepentingan persefahaman, kepelbagaian budaya dan persahabatan antara negara.

Berbeza, tetapi tetap boleh bersama

Saya teringat satu ungkapan daripada falsafah klasik Cina yang dikaitkan dengan Confucius, iaitu Junzi he er bu tong, yang membawa maksud keharmonian tidak bermakna keseragaman.

Sebagai rakyat Malaysia yang membesar dengan latar budaya Melayu dan Cina, ungkapan itu mempunyai makna yang cukup dekat dengan diri saya.

Kita tidak perlu mempunyai bahasa, sejarah atau pandangan yang sama untuk saling memahami. Perbezaan bukan semestinya penghalang kepada persahabatan, malah boleh menjadi asas kepada hubungan yang lebih bermakna.

China dan ASEAN mempunyai kepentingan, keutamaan serta perspektif masing-masing. Kerjasama media antara kedua-duanya juga perlu dibina atas asas saling menghormati dan manfaat bersama.

Dalam persaingan kuasa besar yang semakin kompleks, pengaruh mungkin dibina melalui teknologi, ekonomi dan keupayaan membentuk naratif. Namun, hubungan antara masyarakat tetap memerlukan kepercayaan dan persefahaman.

Mungkin itulah perkara yang paling wajar dibawa pulang daripada perjalanan ini... teknologi boleh menghubungkan negara, media boleh mendekatkan masyarakat, tetapi akhirnya manusialah yang memberikan makna kepada sesebuah hubungan.

Image
Kolumnis Khalis Kadir, CMG

Pelukan erat penulis buat Joanico, disaksikan sahabat, Fauzi Zin ketika mengucapkan selamat tinggal di Lapangan Terbang Antarabangsa Wuxu Nanning. Detik penuh emosi itu menjadi antara kenangan manis, membuktikan pertemuan ini membina ikatan lebih bermakna daripada sekadar hubungan sesama pengamal media.

 

https://www.youtube.com/watch?v=b-XsxDxyZF8

Must Watch Video

Advertisement