Skip to main content

Malaysia

Malaysia gesa akses pembiayaan iklim diperluas bagi bandar sekunder, perantara

Nga berkata bandar berkenaan masih berdepan kekangan untuk mendapatkan akses secara langsung kepada pembiayaan berkadar konsesi serta sokongan penyediaan projek. - Gambar fail Facebook Nga Kor Ming
Nga berkata bandar berkenaan masih berdepan kekangan untuk mendapatkan akses secara langsung kepada pembiayaan berkadar konsesi serta sokongan penyediaan projek. - Gambar fail Facebook Nga Kor Ming
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa akses kepada pembiayaan iklim diperluas bagi bandar sekunder dan perantara, selain meningkatkan pelaburan dalam perumahan berdaya tahan bagi melindungi komuniti rentan daripada banjir, kesan pulau haba bandar serta ancaman perubahan iklim lain.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata bandar berkenaan masih berdepan kekangan untuk mendapatkan akses secara langsung kepada pembiayaan berkadar konsesi serta sokongan penyediaan projek.

Bagi merapatkan jurang itu, Nga yang juga Presiden Perhimpunan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) menggariskan empat keutamaan iaitu mengurangkan risiko pelaburan perbandaran, memperkasakan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk merangka projek berdaya maju dan sedia dilaksanakan, melindungi komuniti rentan serta menggembleng sumber pembiayaan inovatif.

Advertisement

"Kita perlu memperkasakan PBT untuk membangunkan projek berdaya maju dari segi pembiayaan dan sedia dilaksanakan, di samping memperluas usaha menaik taraf penempatan tidak formal serta penyediaan perumahan sosial berdaya tahan terhadap perubahan iklim," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian pada Dialog Peringkat Tinggi mengenai Daya Tahan Bandar, Adaptasi dan Tindakan Iklim bersempena dengan Sidang Kemuncak Pemimpin Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-31 (COP31) di Antalya, Turkiye, hari ini.

Advertisement

Nga turut menyatakan sokongan padu terhadap Kemudahan Pembiayaan Daya Tahan Bandar Mampan (SURFF) yang diperkenalkan Turkiye, selain menggesa institusi kewangan antarabangsa memperluas pelaksanaan inisiatif berkenaan.

Berkongsi pengalaman Malaysia, beliau mengetengahkan usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam menterjemahkan aspirasi iklim negara kepada penambahbaikan yang dapat dirasai masyarakat.

Antaranya pembangunan bandar span pelbagai guna yang berupaya menyerap air banjir kilat ketika musim monsun, selain menyediakan kawasan hijau untuk kegunaan awam serta menaik taraf perumahan sosial menerusi pemasangan panel solar di bumbung dan penerapan ciri mesra alam.

Beliau berkata perumahan sosial berdaya tahan terhadap perubahan iklim perlu mampu melindungi komuniti rentan, selain kekal mudah diakses oleh golongan paling memerlukan.

“Penyesuaian terhadap perubahan iklim bukanlah suatu kos, sebaliknya asas kepada kelangsungan hidup kita. Daripada Perhimpunan UN-Habitat hingga Malaysia, mesej kita jelas, iaitu jadikan Antalya sebagai sidang kemuncak yang menterjemahkan janji kepada pelaksanaan, dasar kepada perlindungan dan aspirasi kepada tindakan.

“Dunia tidak lagi memerlukan lebih banyak retorik. Apa yang diperlukan ialah tindakan bagi mengelakkan kemusnahan, mempercepat pelaksanaan segera serta mencapai transformasi bandar yang berkekalan,” katanya.

Nga turut menyeru pemimpin dunia supaya memastikan komitmen iklim negara masing-masing disokong pembiayaan dan pelaksanaan di peringkat tempatan agar aspirasi global dapat diterjemahkan kepada perlindungan bermakna untuk masyarakat.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement