awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Penghantar p-panggilan didakwa menyamun, merogol dan menyamar sebagai polis
MOT teliti wajibkan pemandu ada rekod kesalahan ikuti kursus pemanduan defensif
Jalan Pintasan Semenyih: Ini Malaysia baharu, jangan lengah laksana projek - PM
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

[KOLUMNIS] Menunggu juga satu ujian di Sudan

Razali Awang
Razali Awang
27/01/2026
09:17 MYT
[KOLUMNIS] Menunggu juga satu ujian di Sudan
Terdapat lebih 7.5 juta pelarian dalam negara (IDP) berlindung di Atbara, memburukkan lagi keadaan yang tidak terurus di bandar yang terletak di negeri Sungai Nil.
HARI kedua pasukan misi Save Sudan yang disertai Alkhair Malaysia bersama Global Peace Mission Malaysia (GPM) di bumi Sudan hanya berkisar di bilik dan ruang lobi Hotel Solitaire di Port of Sudan.
Seperti yang dimaklumkan, pergerakan di negara ini tidak mudah kerana ia membabitkan isu keselamatan.
Waima, kami sendiri tidak berani untuk keluar merayap di luar perkarangan hotel walaupun ia berada di tepi jalan utama dan di tengah-tengah Port of Sudan.
Di sebuah negara yang bergolak dengan konflik di tambah dengan pentadbiran tentera, semuanya boleh mengundang masalah kerana kita tidak tahu yang mana orang awam dan yang mana askar berpakaian preman.
Ditambah dengan kelibat peminta sedekah yang dari jauh memberikan isyarat kami memilih melakukan tugasan yang ada di ruang lobi hotel.
Bak kata orang bercinta, penantian satu penyeksaan, itulah pengalaman menunggu perkembangan permit daripada Pengerusi Labena Organization for Women Development and Capacity Building (Labena), Ekhlas Elamin Bashir yang menjadi rakan kongsi misi kali ini.
Pening juga kepala ketua Misi Save Sudan, Nik Muhammad Nik dari GPM, kerana mesej yang dihantar kepadanya hanya bertanda satu tick.
Tiada respons dan maklum balas daripada Ekhlas menimbulkan tanda tanya mengenai status permit untuk kami keluar dari Port of Sudan.
Kami benar-benar terkurung!
Nasib baik di hotel ada kafe, dapatlah memesan makanan dan minuman.
Tetapi ini juga satu ujian. Segalanya mengambil masa.
Segelas jus pudina dan lemon bersama hidangan makan tengah hari mengambil masa lebih 35 minit.
Apapun keramahan dan pekerti pekerja hotel menenangkan kami untuk terus menunggu.
Sama seperti kesabaran kami menanti berita daripada Ekhlas.
Sebelum tengah hari, Nik Muhammad Nik Yusoff memaklumkan bahawa Pengerusi Labena itu masih berusaha mendapatkan permit untuk membawa kami keluar dari Port of Sudan.
Masih tabah menunggu sehingga ke tengah hari.
Akhirnya, kami sambung sesi makan dan ketika itu kelihatan Land Cruiser putih berada di pekarangan hotel.
Ingatkan ada VVIP, rupa-rupanya ia dihantar Ekhlas untuk mengambil kami, tetapi tiada komunikasi dengan ketua misi.
Kami terpinga-pinga selepas mendapat tahu dan terus mengemas serta turun ke bawah.
Di sini seakan berlaku jurang komunikasi kerana Ekhlas tidak memaklumkan kami.
Sebaik sampai ke bawah, pemandunya hilang! Lesap!
Tengok jam di tangan menunjukkan pukul 2 petang.
Tidak mengapa, kami lepak di ruang lobi sambil menyambung tugasan masing-masing.
Dalam keadaan menunggu, ada yang memberi idea untuk kami ke kafe sambil makan apa yang ada.
Satu lagi ujian, hampir sejam sandwich tidak siap-siap.
Sekitar jam 4.20 petang, kelibat Ekhlas kelihatan bersama pemandu yang sebelum ini menghilang.
Selepas segala urusan selesai, sekitar jam 5.10 petang dalam kelibat Maghrib bersama bungkusan yang tidak sempat dimakan, kami bergerak meninggalkan Port of Sudan ke Atbara, Negeri Sungai Nil yang jaraknya lebih 400 kilometer dan mengambil masa enam jam perjalanan.
Kami berenam disumbat dalam satu Land Cruiser! Bersama beg sandang masing-masing, ia ibarat ikan dalam tin sardin.
Sebelum itu Ekhlas bercerita mengenai karenah birokrasi yang perlu dilalui untuk mendapatkan permit.
Risiko ini ada di mana-mana.
Persiapan awal dengan segala urusan dokumen tidak memberi sebarang jaminan bahawa jadual yang ditetapkan dapat dibuat seperti dirancang.
Perkara ini adalah lumrah dalam mana-mana misi kemanusiaan.
Alhamdulillah, perjalanan ke Atbara berjalan lancar dengan tiga kali pemeriksaan.
Selepas lebih enam jam, kami sampai di Malaza Hotel.
Selepas mendaftar masuk dan tiba di bilik masing-masing, fikiran hanya tertumpu kepada dua beg plastik berisi sandwich.
Syukur ada makanan untuk dikongsi sebelum sambung dengkur di bilik masing-masing.
Inilah Sudan!

* Razali Awang ialah Perunding Media Alkhair Malaysia.
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Topic Berkaitan
#Sudan
#keselamatan
#birokrasi
#AlKhair Malaysia
#Global Peace Mission
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan